Kerjasama ini menggabungkan kepakaran dan kekuatan operasi PETRONAS Dagangan melalui anak syarikat miliknya PDB Growth Solutions Sdn. Bhd. (PGSSB), bersama BESB yang telah bekerjasama sejak 2022. Kini, fasa baharu ini memberi tumpuan kepada skala dan impak lebih besar sejajar dengan hasrat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
BMSB diberi hak eksklusif untuk mengedar motosikal elektrik jenama Blueshark di Malaysia, termasuk model Soloera. Selain itu, ia akan memperluaskan penggunaan sistem penukaran bateri pantas di stesen-stesen PETRONAS terpilih menawarkan kemudahan kepada pengguna.
Kemudahan infrastruktur ini sudah pun tersedia di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Perluasan menyeluruh kini dalam perancangan untuk memacu pembangunan ini, BMSB bakal bekerjasama erat dengan rakan penghantaran utama.
Sokongan Teknologi dan Pemasangan Tempatan
Bagi memperkukuh lagi pelaksanaan, BMSB bakal bekerjasama dengan dua pemain utama industri:
-
Sharkgulf Technologies Group Limited (STGL) pembangun asal dan penyedia teknologi platform Blueshark dari China, menyumbang sistem bateri pintar, rangkaian kuasa, serta integrasi perisian pintar.
-
EP Manufacturing Bhd (EPMB) melalui anak syarikat miliknya EP Blueshark Sdn. Bhd. (EPBSB) akan menjadi pemasang tempatan bagi produk 2W-EV ini, sekali gus memastikan aspek lokaliti pengeluaran dan logistik dapat dipenuhi untuk pasaran Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan, Azrul Osman Rani, menyifatkan langkah ini sebagai transformasi penting dalam memperluas penyelesaian mobiliti pintar dan mampan:
“Kami komited untuk menawarkan solusi mobiliti bersih dan pintar untuk memenuhi keperluan masa kini dan akan datang. Usahasama ini membuktikan evolusi kami sebagai rakan penyelesaian mobiliti progresif.”
CEO BESB, Jeff Chong, pula menegaskan bahawa kerjasama ini akan mempercepatkan pembangunan ekosistem EV dua roda dan menjadikan Blueshark jenama pilihan rakyat Malaysia.
Manakala, CEO STGL Tiger Liu melihat kerjasama ini sebagai lebih daripada sekadar perkongsian perniagaan:
“Kami percaya mobiliti lestari bukan sekadar trend, tetapi tanggungjawab korporat yang perlu digalas.”
Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon, menambah bahawa ini adalah detik penting dalam perjalanan EPMB sebagai peneraju industri EV dengan kekuatan pengalaman dalam logistik CKD dan pemasangan tempatan.