Peserta konvoi jangan leka, patuh peraturan jalan raya

oleh Hamimah Hamid|
PENGGUNA jalan raya khususnya peserta konvoi motosikal diminta tidak leka dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya tidak pernah menghalang aktiviti konvoi, namun kerap berlaku kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal ketika berkonvoi dan ia membimbangkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Setiap tahun hampir 4,000 kemalangan berlaku, jumlah ini sangat tinggi dan mereka (penunggang motosikal) tidak mengambil pengajaran daripada tragedi-tragedi yang berlaku.

“Jadi saya nasihatkan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal jangan lah leka di jalan raya, sentiasa berhati-hati dan patuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 di Ipoh, malam tadi.

Ujar Datuk Lokman, JPJ komited dalam menjalankan tugas bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas.

"Kita tidak pernah menghalang pengguna motosikal menggunakan jalan awam melakukan aktiviti riadah konvoi namun perlulah menjaga etika dan tidak melanggar undang-undang jalan raya.

"Berkonvoi itu tidak salah tetapi apabila mereka tiada lesen memandu, tiada insurans, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan maka ia akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang peserta program RXZ Members 5.0 maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 255.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Luqman Misnan, 30, bersama dua lagi rakan dikatakan dalam perjalanan secara berkonvoi dari Kuantan menghala ke Gong Badak di Kuala Nerus sebelum motosikal jenis Yamaha RXZ dinaiki terbabas kira-kira jam 11 pagi.