Pesawat terhempas tiada kotak hitam, polis akan rujuk CAAM

oleh Hamimah Hamid|
DAKWAAN pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar tidak dilengkapi kotak hitam dan alat komunikasi akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan yang dijalankan pihak polis terhadap insiden itu ketika ini lebih menjurus kepada perkara lain yang berkaitan kemalangan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

“Perkara yang melibatkan teknikal sama ada kotak hitam ada atau tidak akan disiasat oleh CAAM. 

 

“Bagi pihak polis kita akan menjalankan siasatan yang menjurus kepada kemalangan,” katanya.

 

Menurut Tan Sri Razarudin, siasatan kes tersebut masih berjalan dan pihaknya akan bekerjasama dengan CAAM menjalankan siasatan secara terperinci nahas udara berkenaan.

 

Tan Sri Razarudin berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Kdnka Di Markas Bridged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di Ipoh hari ini.

 

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.

 

Perkara itu didedahkan seorang pegawai agensi bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) yang turut mendakwa pesawat berkenaan tidak dilengkapi kotak perakam suara kokpit (cvr) dan perakam data penerbangan (fdr) serta sistem kedudukan sejagat (gps).

 

Semalam pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar mengorbankan juruterbang dan pembantunya dikenali Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan Roshaan Singh Raina, 43 tahun.

 

Pesawat dengan nombor pendaftaran i-pooc, dikendalikan Air Adventure Flying Club itu difahamkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bagi tujuan penerbangan rekreasi.