Pesawat pejuang TUDM, Hawk terhempas, seorang maut dan seorang cedera

oleh SALINA JALIL|
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenal pasti identiti dua juruterbangnya yang terbabit dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, malam semalam (16 Nov).


Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan memaklumkan dua juruterbang berkenaan dikenali sebagai Kapt Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

 

Menurut kenyataan itu, Mohamad Affendi meninggal dunia dalam nahas itu manakala Mohd Fareez yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

 

"Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

 

"Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih.

 

"TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan tengah malam tadi.

 

TUDM berkata nahas di Pangkalan Udara Butterworth itu berlaku kira-kira 10.07 malam pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

 

Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden membabitkan pesawat Hawk 108 yang berlaku malam tadi.

 

Beliau berkata insiden tersebut dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

 

"Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera...amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera," kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.

 

Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden tersebut.

 

 

 

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
  Pesawat Hawk pertama diterima TUDM pada 1994 dan sehingga kini telah berlaku sembilan kejadian…
Uncategorized
  "Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa…
Berita Domestik
  Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, berdasarkan keperluan semasa, cabang…