Pesawat aerobatik tentera Kanada terhempas di kawasan perumahan, seorang maut, seorang cedera

oleh SALINA JALIL|
Seorang anggota pasukan aerobatik tentera udara elit Kanada, Snowbirds, maut dan seorang lagi cedera apabila pesawat mereka terhempas di British Colombia, semalam, ketika mengadakan pertunjukan sebagai penghormatan terhadap usaha awam memerangi COVID-19, kata pihak tentera.


Menurut media tempatan di Toronto, pesawat itu terhempas di kawasan perumahan dan halaman sebuah rumah sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Kamloops bersama sebuah lagi pesawat, lewat pagi semalam.

"Dengan berat hati, kami mengumumkan bahawa seorang anggota pasukan CF Snowbirds maut dan seorang lagi parah," ciap Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF), malam tadi.

 

Mereka kemudian mengemas kini ciapan itu dengan memaklumkan, anggota terselamat dalam nahas berkenaan mengalami kecederaan yang 'dianggap tidak mengancam nyawa'.

 

terhempas

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan Wilayah, Adrian Dix, menciap bahawa seorang individu telah dibawa ke hospital dalam kejadian itu.

 

Menurut saksi, juruterbang berjaya melantunkan diri keluar dari pesawat itu dengan sebuah payung terjun sebelum ia terhempas. Juruterbang itu dilaporkan mendarat di atas bumbung sebuah rumah dan dilihat mengalami kecederaan pada leher dan belakang tubuh.

 

Berdasarkan video dirakam orang awam, bangkai pesawat kelihatan terbakar di hadapan sebuah rumah. Penduduk pula berkumpul untuk mengetahui kejadian yang berlaku.

 

 

 

Gambar dirakam dari lokasi kejadian menunjukkan serpihan terbakar di hadapan sebuah rumah yang sebahagian daripadanya turut dijilat api.

 

Laporan CBC memetik seorang saksi, Nolyn Mcleod, sebagai berkata pesawat itu melintasi kira-kira tiga meter dari bumbung rumahnya.

 

"Kami melihat juruterbang melantunkan diri keluar mungkin setinggi kira-kira dua tingkat.

 

"Pesawat tanpa juruterbang itu kemudian terhempas antara rumah jiran dan saya sebelum akhirnya melanggar tingkap bilik tidur jiran.

 

"Keadaan betul-betul huru-hara. Orang menjerit dan berteriakan. Kami sangka telah dibom atau dilanda sesuatu," katanya.

 

Kedua-dua pesawat terbabit dijadualkan terbang melintasi British Colombia sebagai sebahagian daripada program dipanggil 'Operasi Inspirasi' yang dilancarkan awal bulan ini sebagai penghormatan kepada usaha rakyat Kanada memerangi pandemik COVID-19.

 

 

 

 

Info: CBC

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
  Hoang Trieu, 40, yang sedang mengambil gambar dari sebuah bangunan tepat di luar lapangan…
Berita Domestik
  "Melalui operasi perkhidmatan ini, hanya ruang kargo pada bahagian 'perut' (bawah) pesawat…
Informasi
Dr Suzalinna berkata bahawa semua yang menjalani ujian saringan pertama ketika ketibaan diminta…