Menurut beliau, tumpuan diberikan kepada empat laluan utama yang dikenalpasti berada dalam keadaan sangat uzur iaitu Jalan Sapulut-Kalabakan, Jalan Nangoh-Paitan-Kanibongan, Jalan Kanibongan dan Jalan Langkon-Pitas.
Katanya, laluan tersebut merupakan Jalan Negeri yang penting namun tidak dapat ditangani hanya melalui penyelenggaraan rutin dan berkala yang dijalankan oleh konsesi jalan sedia ada.
“Kerajaan memilih kaedah ‘Cold In-Place Pavement Recycling’ (CIPR) bagi membaiki jalan-jalan tersebut kerana ia terbukti berkesan terutama di kawasan yang mengalami kerosakan berulang akibat beban berlebihan,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu temubual khas.
Tambah Shahelmey, penggunaan CIPR juga menjimatkan kos dan menjamin jangka hayat permukaan jalan yang lebih lama sekali gus mengurangkan keperluan penyelenggaraan berulang.
Sementara itu, Shahelmey memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai Jabatan Teknik bagi projek pembangunan persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah berkuat kuasa 4 Mac 2023.
Jelasnya, pengiktirafan itu selaras dengan Arahan Perbendaharaan 182 (A.P.182) dan merupakan pencapaian penting hasil rundingan yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Ini mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan profesional dan teknikal JKR Sabah dalam mengurus projek pembangunan.
Menurut beliau, pelantikan itu memberi impak besar kepada keberkesanan pelaksanaan projek kerana ia membolehkan JKR Sabah bertindak lebih responsif terhadap keperluan rakyat setempat.
Katanya, ia turut selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menjadikan Sabah sebuah negeri maju, mampan dan berdaya tahan.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, JKR Sabah menerima 421 projek pembangunan Persekutuan bernilai sehingga RM50 juta melibatkan kos keseluruhan RM5.76 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 269 projek akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana kerajaan negeri iaitu JKR Sabah.