Persiaran Mokhtar Dahari bakal dapat tiga lorong baharu atasi kesesakan

oleh Penyumbang Rencana 2|
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan kos RM35 juta untuk menambah tiga lorong baharu kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut laporan Kosmo, dua fasa pelebaran jalan itu dijangka mampu mengatasi kesesakan yang dialami oleh penduduk sekitar sejak dua minggu lalu. 

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, JKR akan membuat laporan teknikal secara terperinci mengenai projek penambahan lorong tersebut.

Kata beliau, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

“Fasa pertama yang perlu disegerakan meliputi tambahan satu lorong di laluan menghala ke Puncak Alam.

“Kita menjangkakan projek pertama akan  dilaksanakan awal tahun depan sebelum diteruskan dengan fasa kedua kelak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, petang semalam.

Difahamkan, lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari telah memohon kepada pihak berwajib untuk melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.

Tambah Izham, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan boleh memuatkan enam lorong secara keseluruhannya.

“Laluan berbukit selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ketika ini hanya mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua arah.

“Bagi jangka masa pendek, satu lorong sejauh 800 meter akan dibina terlebih dulu sebelum disambung dengan dua lorong lain,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau tidak menyalahkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan projek pelebaran jalan itu demi keselesaan penduduk setempat.

“Saya meminta pengguna supaya dapat bersabar dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab untuk membina lorong baharu,” katanya. 

Sumber: Kosmo

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Projek dijangka siap akhir tahun ini. Namun untuk langkah jangka panjang, kita akan tambah satu…
Berita Domestik
Dalam satu kenyataan rasmi, Bahagian Operasi Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd…
Berita Domestik
Pelaksanaan aliran tersebut bermula dari Persimpangan Alam Budiman hingga ke sempadan Persimpangan…