Persatuan pengguna berperang dengan Touch "N Go berkaitan TnG eWallet

oleh HEZERI SAMSURI|
Dua buah pertubuhan yang mewakili pengguna telah meminta pihak Touch "N Go untuk mengkaji semula penggunaan perkhidmatan eWallet milik syrikat tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perkhidmatan eWallet itu membenarkan penggunanya untuk membuat bayaran, membuat pindahan baki, menambah nilai kad TnG dan membayar tol secara terus untuk lebuhraya Duke-Ulu Kelang, Damansara-Puchong dan lebuhraya Shah Alam.

Menurut Darshan Singh Dhillon, presiden Pergerakan Pengguna Malaysia, adalah satu pembaziran untuk melancarkan perkhidmatan PayDirect tersebut kerana ia hanya boleh digunakan untuk beberapa lebuhraya sahaja.

Beliau yang memberitahu portal berita Free Malaysia Today berkata Touch "N Go perlu membuat kajian menyeluruh sebelum memperkenalkan perkhidmatan tersebut.

"Siapa yang ada masa untuk memeriksa lebuhraya mana yang boleh digunakan dan yang mana tidak boleh!" ujar beliau.

Darshan mendakwa selepas tiga minggu menggunakan perkhidmatan tersebut, beliau mendapati pengguna tidak boleh memeriksa baki di dalam kad dan kerana itu palang tol tidak terbuka kerana baki tidak mencukupi.

Beliau juga mendakwa perkhidmatan eWallet itu tidak boleh menambah nilai kad TnG secara automatik jika ia tidak disambung kepada sebuah akaun kad kredit. Jika disambung pula, pengguna perlu menambah nilai pada eWalletjuga dan tidak ada informasi berapa jumlah caj yang akan dikenakan.

Menurut jurucakap TnG pula, kad TnG tidak boleh ditambah nilai secara automatik kerana kad pintar itu mempunyai chip dan transaksi tambah nilai hanya boleh dilakukan jika kad itu disentuh kepada unit pembaca kad.

Darshan kemudian berkata pengguna tidak boleh membatalkan sambungan eWallet itu dengan kad kredit pilihan.

TnG berkata, pengguna boleh membatalkan sambungan dengan kad kredit atau kad debit mereka melalui aplikasi eWallet itu dengan menggesek ke kiri dan kilk Delete.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Jacob George pula memberi amaran penggunaan perkhidmatan pembayaran elektronik itu mempunyai risiko untuk digodam.

Ini berlaku pada Google Wallet dalam tahun 2011 dan aplikasi Starbucks dalam tahun 2015.

Beliau mempersoalkan adakah rakyat Malaysia sudah bersedia dengan risiko tersebut.

Jacob menambah persatuannya mahukan polisi jaminan, keselamatan dan bayaran balik sekiranya akaun pengguna digodam.

Syarikat Touch "N Go pula berkata keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka dan mereka akan terus berusaha ke arah itu.

Setakat ini, Careta tidak pernah mendengar sebarang kes kad pintar TnG atau perkhdimatan eWallet TnG digodam lagi.

Pembayaran elektronik sudah semakin berkembang pesat dan negara-negara maju sudah giat menggunakannya.

China contohnya menggunakan sistem pembayaran elektronik untuk hampir kesemua transaksi perniagaan mereka, termasuk gerai-gerai di tepi jalan.

* Laporan asal dari Free Malaysia Today

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Touch ’n Go telah menyumbang RM30,000 dalam bentuk baucar beli-belah kepada 80 individu memerlukan…
Berita Domestik
Charm Touch ’N Go edisi Tahun Naga ini merupakan sebuah produk Touch ’N Go dengan sokongan NFC…
Berita Domestik
Ia juga diiktiraf sebagai salah satu daripada 25 Majikan Siswazah Paling Diutamakan Secara…