Persaingan sengit Proton-Perodua semakin rancak, Saga kuasai carta pendaftaran kereta Januari

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Persaingan antara dua pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dilihat semakin rancak, apabila kedua-dua jenama itu terus menguasai carta pendaftaran kereta pada bulan pertama 2026.

Lebih menarik, Proton mencuri tumpuan apabila Saga baharu muncul sebagai model kereta paling laris bulan lalu dengan lebih 10,000 unit didaftarkan di jalan raya Malaysia, manakala populariti Proton e.Mas 5 membolehkan kenderaan elektrik (EV) tampil sebagai antara lima kereta paling laris buat kali pertama dalam pasaran automotif tempatan.

Bagaimanapun, Perodua masih unggul sebagai pengeluar kereta nombor satu di Malaysia dengan tiga modelnya iaitu Bezza, Axia dan Myvi masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat model kereta banyak didaftarkan pada Januari.

Di semakin persaingan yang semakin sengit, penganalisis industri melihat perkembangan itu tidak semestinya membawa manfaat jangka panjang jika kedua-dua pengeluar kereta nasional itu hanya tertumpu kepada perebutan angka jualan.

Penganalisis automotif dan Pengarah Urusan Careta.com.my, Hezeri Samsuri, berkata lebih 60 peratus jualan automotif negara ketika ini dikuasai oleh Proton dan Perodua, sekali gus menunjukkan struktur pasaran yang sangat tertumpu.

Dari segi persepsi, katanya Proton kelihatan lebih agresif dengan strategi pemasaran dan pengenalan model baharu, namun jumlah jualan keseluruhan masih dikuasai Perodua.

foto hiasan

Menurutnya, Proton kini bersaing dalam segmen yang lebih kompetitif, berbanding Perodua yang memberi tumpuan kepada segmen peringkat permulaan yang mempunyai kurang pesaing.

Dalam aspek daya saing produk, Hezeri berkata, Proton kini menawarkan kenderaan dengan lebih banyak kelengkapan dan ciri moden, berbanding pendekatan Perodua yang mengekalkan resipi Jepun yang ringkas dan lasak.

"Pengguna sekarang tidak mahu lasak semata-mata, tetapi mereka mahu sesuatu yang lebih canggih," katanya kepada BH.

Beliau juga melihat 2026 sebagai tempoh penting untuk menilai sama ada Proton benar-benar memasuki fasa kebangkitan baharu dalam industri automotif negara, terutama selepas beberapa tahun berada di bawah seliaan kumpulan automotif China, Geely.

Menurutnya, kebangkitan semula Proton sebenarnya sudah bermula sejurus syarikat itu diletakkan di bawah seliaan Geely.

"Kita boleh katakan zaman kebangkitan semula Proton ialah selepas ia duduk di bawah seliaan Geely. Apa yang berlaku sekarang ialah Proton sudah mula mendapat lebih kepercayaan daripada Geely sendiri," katanya .

Menyentuh peralihan pasaran ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV), hibrid dan kenderaan elektrik (EV), Hezeri berkata, elektrifikasi kini semakin popular dalam segmen mampu milik, bukan lagi terhad kepada kenderaan mewah.

Beliau berpandangan, Proton mempunyai kelebihan dalam sektor itu memandangkan China sudah mempunyai rangkaian produk elektrifikasi yang luas, manakala Perodua berdepan risiko ketinggalan sekiranya rakan teknologinya masih mengekalkan pendekatan kenderaan tradisional.

Namun, beliau tidak merasakan bahawa EV akan menjuarai carta jualan dalam tempoh terdekat.

"Saya merasakan enjin pembakaran dalaman (ICE) masih akan mendominasi jualan automotif negara," katanya sambil menambah bahawa beberapa model EV peringkat permulaan mungkin popular sebagai kenderaan kedua.

Sementara itu, pemerhati pasaran, Irzal Kamal berkata, kebangkitan sesebuah jenama nasional tidak boleh diukur berdasarkan angka jualan semata-mata.

"Bagi saya, kebangkitan perlu diukur bukan sekadar daripada angka jualan. Hari ini, pilihan jenama dan model semakin banyak, dan strategi pemasaran juga semakin spesifik kepada pelbagai segmen demografi serta tujuan penggunaan," katanya.

Beliau berkata, penilaian juga perlu merangkumi prestasi selepas jualan, kualiti servis, pengalaman pemilikan dan tahap kepuasan pelanggan.

Sebagai jenama nasional, katanya, impak terhadap lokalisasi dan rantaian bekalan turut wajar diambil kira, khususnya pertumbuhan Proton memberi kesan kepada vendor tempatan.

Beliau berkata, hubungan antara Proton dan Geely kini menunjukkan kematangan dua hala, bukan lagi sekadar pemindahan teknologi satu arah.

"Geely telah membawakan platform seperti GMA dan X/S, manakala Proton sendiri turut menyumbang pembangunan platform AMA kepada kumpulan berkenaan. Ini menunjukkan hubungan dua hala yang lebih matang," katanya.

Katanya, strategi kedua-dua jenama nasional kini semakin hampir, berbanding sebelum 2018 apabila Proton lebih dikenali dengan pembangunan berasaskan platform sendiri, manakala Perodua mengamalkan model kerjasama strategik untuk menawarkan spesifikasi sesuai pada harga kompetitif.

Beliau berpandangan, dalam pasaran domestik yang semakin padat dengan pelbagai jenama, kebangkitan sebenar perlu dilihat daripada keupayaan memperkukuh asas industri dan daya saing menyeluruh, bukan sekadar perebutan takhta jualan tahunan.

Lima model kereta paling laris pada Januari 2026

1. Proton Saga 10,285 unit

2. Perodua Bezza 8,431 unit

3. Perodua Axia 6,581 unit

4. Perodua Myvi 4,819 unit

5. Proton e.MAS 5 3,068 unit

Berita Berkenaan

Berita Global
Penutupan kilang di Hanover, Zwickau, Emden dan kilang Neckarsulm milik Audi berpotensi menjejaskan…
Berita Domestik
Walau bagaimanapun, hala tuju itu adalah tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang…