Perodua yakin penuhi tempahan 200,000 kereta

oleh Hamimah Hamid|
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berkeyakinan dapat mendaftar lebih 200,000 unit kenderaan menjelang 31 Mac 2023, sekali gus membolehkan pelanggannya menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pengeluar kereta kompak nasional itu mampu menghasilkan 28,000 unit sebulan dan dengan tahap pengeluaran itu ia akan dapat memenuhi pesanan tertunggak pelanggan dalam masa yang ditetapkan dan mereka dapat menikmati penjimatan cukai jualan yang ditawarkan kerajaan.

Ujar beliau, syarikat itu menjual 97,290 unit pada separuh pertama 2022, melonjak 30 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Perodua yakin sasaran jualan untuk tahun 2022 iaitu sebanyak 247,800 unit, peningkatan 30.2 peratus daripada 190,291 kenderaan yang dihantar pada tahun 2021 dapat dicapai.

“Peningkatan pengeluaran ini positif kerana Perodua telah menyelesaikan masalah kekurangan cip yang dihadapi sebelum ini,” katanya.

Mengulas  mengenai inflasi, ringgit yang lemah dan kenaikan kos bagi pengeluar Zainal Abidin berkata, Perodua  akan mengekalkan harga jualan.

“Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, daripada harga bahan mentah dan keadaan ekonomi Malaysia kepada kuasa beli pelanggan.

“Yang pasti tidak ada kenaikan harga, kami masih mengekalkan harga jualan kenderaan Perodua dan berharap dapat mengekalkan harga kami sehingga akhir tahun ini," ujar Zainal Abidin.