Perodua Turunkan Harga QV-E, Kini Bermula RM63,499

oleh Qalif Latif|
Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E, susulan peningkatan kandungan tempatan serta kecekapan operasi yang dicapai bersama rangkaian vendor automotif tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, peningkatan penggunaan komponen yang dihasilkan di dalam negara bukan sahaja membantu melindungi peluang pekerjaan tempatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dan rantaian bekalan asing.

Menurut beliau, perkembangan tersebut turut membolehkan Perodua menyimpan inventori alat ganti yang lebih besar, khususnya komponen badan kenderaan, sekali gus memastikan bekalan alat ganti lebih mudah diperoleh pelanggan apabila diperlukan.

QVE

Pengeluaran Melebihi 500 Unit Sebulan

Perodua turut memaklumkan bahawa pengeluaran QV-E kini telah meningkat kepada lebih 500 unit sebulan. Peningkatan kandungan tempatan itu juga membolehkan syarikat mengoptimumkan operasi dan berkongsi manfaat tersebut dengan pelanggan.

Harga Baharu Dan Tawaran Promosi

QV-E kini ditawarkan pada harga RM93,999 bagi pemilikan penuh. Bagi pelanggan yang memilih pakej Battery as a Service (BAAS), harga kenderaan ditetapkan pada RM69,999 dengan bayaran langganan bateri sebanyak RM215 sebulan termasuk cukai untuk tempoh sembilan tahun.

Sebagai tawaran khas untuk tempoh terhad sehingga 30 September 2026, Perodua menurunkan harga QV-E kepada RM87,499 bagi pemilikan penuh atau RM63,499 melalui pakej BAAS dengan bayaran bulanan RM215 selama sembilan tahun.

QVE

 

BAAS Beri Perlindungan Menyeluruh Bateri

Pakej BAAS yang ditawarkan merangkumi perlindungan bateri, proses pelupusan dan penggantian bateri serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan sembilan tahun. Perodua menyatakan pakej ini diwujudkan bagi memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan dengan pengurusan bateri diuruskan sepenuhnya oleh syarikat.

Bagi pelanggan yang memilih pemilikan penuh, Perodua turut menyediakan pilihan pembelian bateri apabila tiba masanya untuk bateri asal dilupuskan pada masa hadapan.

Jarak Perjalanan Sehingga 445 Km

QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 52.5 kWh dan mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 445 kilometer mengikut kitaran ujian NEDC, bergantung kepada gaya pemanduan, suhu persekitaran dan keadaan jalan.

Model ini turut menerima penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.

Pelanggan Sedia Ada Turut Terima Manfaat

Perodua turut mengesahkan pelanggan sedia ada QV-E akan menerima pulangan wang khas, manakala bayaran BAAS bulanan mereka akan dikurangkan daripada RM275 kepada RM215 bermula pada kitaran pembayaran seterusnya. Penasihat jualan Perodua akan menghubungi pelanggan yang terlibat dalam masa terdekat.

Dengan harga promosi baharu RM87,499, QV-E kini menjadi antara EV paling mampu milik dalam pasaran Malaysia, sekali gus dijangka meningkatkan lagi daya tarikannya dalam segmen EV tempatan.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perodua buat pelarasan tanpa tuntutan pelanggan Menurut perkongsian Tan Aik Keong di kumpulan…
Berita Domestik
"Dari segi dalaman, kami sedang berdepan beberapa masalah pengeluaran berkaitan QV-E. Kami sudah…
Informasi
Katanya, rujukan berkenaan muncul akibat salah faham terhadap maksud sebenar ketika penyediaan awal…