Perodua sasarkan peningkatan jualan 1.7 % - bersamaan 231,000 unit untuk tahun ini

oleh SALINA JALIL|
Perodua, yang mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarahnya, iaitu sebanyak 227,243 unit pada tahun 2018, mensasarkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus kepada 231,000 unit menjelang akhir tahun 2019, disokong oleh Myvi dan pengenalan Aruz baru-baru ini.

Myvi merupakan model terlaris Perodua pada tahun 2018, dengan 82,122 unit didaftarkan daripada 117,844 tempahan. Dari pelancarannya pada November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 Myvi telah didaftarkan daripada 147,000 tempahan.

 

Axia, Bezza dan Alza kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan 70,821, 49,911 dan 24,389 unit dijual pada 2018.

 

“Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 4% tahun ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif Malaysia yang dijangka akan berkembang sedikit tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada para media hari ini di majlis makan tengahari Tahun Baru Cina syarikat itu.
 

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka peningkatan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 0.21% kepada 600,000 unit tahun ini daripada 598,714 unit tahun lepas.

 

Persatuan itu menjelaskan bahawa perkembangan tahun lepas disebabkan cuti cukai (tax holiday) yang berlangsung dari bulan Jun hingga hujung Ogos, dan andainya tiada insentif baharu, pasaran dijangka kekal pada paras ini pada tahun 2019.

 

“Bagi Perodua, Myvi dijangka terus popular tahun ini, dan sejak kami memulakan tempahan untuk Aruz pada 3hb Januari, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan setakat ini. Memandangkan sasaran jualan kami 2,500 unit sebulan, angka ini sangat menggalakkan,” kata Dato’ Zainal.

 

 

Perodua juga menjangka untuk meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20% daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selaras dengan permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan.

 

Menurut Dato’ Zainal, 219,000 kenderaan dikeluarkan daripada dua-dua kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018 dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000 kenderaan pada tahun 2019.
 

 

Dari sudut selepas jualan, Perodua memecahkan banyak rekod dalaman dari segi pengambilan servis (2018 2.17 juta pengambilan berbanding 2017 2.1 juta pengambilan – naik 3%) dan jualan alat ganti dan aksesori (2018 RM320.8 juta berbanding 2017 RM288.5 juta – naik 11%). Perniagaan Badan & Cat (B&P) dan Kenderaan Pra-Milik (POV) juga menyaksikan perkembangan yang menggalakkan.

 

“Selepas jualan adalah aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf kepuasan pelanggan kami untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini.

 

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda,” kata Dato’ Zainal.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perodua sudah menjual lebih dari 100,000 unit Myvi generasi ketiga setakat hari ini. Myvi generasi…
Berita Domestik
Tiada sesiapa yang suka berjauhan daripada keluarga dan kawan-kawan semasa Tahun Baharu Cina –…
Berita Domestik
Perodua telah menjual lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk mencatat…