Perodua sasar jual 240,000 kenderaan pada 2021, kenaikan 9% dari 2020

oleh SALINA JALIL|
Perodua menyasarkan untuk menjual 240,000 kenderaan pada 2021 – kenaikan 9 peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, berikutan permintaan tinggi bagi model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.


Sebagai perbandingan, Perodua telah menjual 240,341 kenderaan pada 2019.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Jualan 220,163 unit pada 2020 terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 unit, memberikan Perodua 41.6 peratus penguasaan pasaran.

 


“Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir-Jun 2021, perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini dan permintaan berterusan bagi semua model kami, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan buat kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

 


Beliau menambah bahawa Perodua dan ekosistem automotif Malaysia menghargai segala sokongan kepada industri dan akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard berkaitan COVID-19 dipatuhi.

 


Dato’ Zainal juga berkata bahawa dengan pemulihan jualan Perodua yang dijangkakan, pengeluar kenderaan kompak tersebut menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini.

 

 

“Di samping itu, berikutan pengakhiran 2020 yang lebih baik daripada jangkaan Perodua serta industri, kami ingin menambah stok kami dengan menaikkan sasaran pengeluaran kami kepada 272,000 kenderaan tahun ini – tertinggi dalam sejarah kami. Kenaikan ini akan membawa kepada penghantaran yang cepat pada tahun ini,” kata Dato’ Zainal.

 


Sasaran pengeluaran Perodua 2021 mewakili peningkatan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020, dan dengan kesemua modelnya mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan, Perodua kekal menjadi pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.

 


Menurut Dato’ Zainal, Perodua juga menyasarkan peningkatan 20 peratus dalam pengambilan servisnya, daripada 2 juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021, terdiri daripada pelanggan semasa serta baharu.

 


“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua pengeluar kenderaan terlaris di negara ini selama 15 tahun berturut-turut.

 


“Dalam usaha kami untuk terus mendapatkan sokongan daripada para pelanggan kami, Perodua akan mengubah pendekatan kami dalam segala aspek, baik dalam perhubungan pelanggan, nilai-nilai kami mahupun operasi kami – terutama sekali di bahagian jualan kami, Perodua Sales Sdn Bhd,” kata Dato’ Zainal.

 


Beliau berkata pendekatan ini, yang dinamakan ‘Perodua Smart Build’, akan merevolusikan penawaran Perodua di samping meningkatkan lagi kemampuan operasi syarikat kereta kompak tersebut.

 


“Maklumat lanjut dan kesan inisiatif ‘Perodua Smart Build’ terhadap Perodua, rakan-rakan niaga kami, ekosistem automotif serta pelanggan kami yang dihargai akan diumumkan dalam waktu terdekat,” kata Dato’ Zainal.


 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua telah membangunkan sebuah prototaip berkuasa elektrik hasil kerjasama…