Perodua Perkenal Aplikasi Sewa Kenderaan UCar-e Di Universiti Tempatan

oleh Qalif Latif|
Perodua memperkenalkan aplikasi perkhidmatan sewa kenderaan baharu dikenali sebagai UCar-e di tiga universiti tempatan terpilih iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (Malaysia-Japan International Institute of Technology).

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada konsep “Mobility as a Lifestyle” Perodua yang memberi tumpuan kepada penyelesaian mobiliti berasaskan perkhidmatan, berbanding pemilikan kenderaan secara konvensional.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, sebanyak 50 unit kenderaan Perodua disediakan pada peringkat awal untuk kegunaan pelajar dan kakitangan universiti yang terlibat.

“Kami menyediakan 50 unit kenderaan Perodua kepada universiti yang terlibat untuk digunakan oleh pelajar-pelajar dan kakitangan mereka yang mana mereka boleh membuat tempahan, mengakses dan menggunakan kenderaan berkenaan untuk bergerak daripada hostel ke dewan kuliah dalam kawasan universiti,” katanya.

Tempahan Dan Akses Kenderaan Melalui Aplikasi

Melalui aplikasi UCar-e, pengguna boleh mengesan lokasi kenderaan yang ditempatkan di kawasan parkir yang ditetapkan dalam kampus. Pengguna juga akan diberikan panduan lokasi parkir yang dibenarkan untuk memulangkan kenderaan selepas digunakan.

Perodua menjelaskan sistem tersebut dibangunkan bagi memastikan proses tempahan dan penggunaan kenderaan menjadi lebih mudah dan mesra pengguna untuk warga universiti.

Pelajar Turut Berpeluang Menjana Pendapatan

Menariknya, Perodua turut melibatkan pelajar sebagai ejen pengurusan kenderaan sewa di kampus. Mereka akan bertanggungjawab memastikan kenderaan sentiasa bersih, mempunyai bekalan petrol mencukupi dan berada dalam keadaan baik. Sebagai balasan, pelajar yang terlibat akan menerima komisen.

Menurut Dato’ Sri Zainal, pendekatan itu bukan sahaja membantu operasi perkhidmatan malah memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran keusahawanan serta memperoleh pengalaman menguruskan perniagaan mobiliti.

Pelaksanaan Bermula Jun 2026

Perkhidmatan UCar-e dijangka mula beroperasi pada Jun 2026 dan akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada tahap kesiapsiagaan universiti yang terlibat.

Perodua melihat pengenalan UCar-e sebagai langkah penting dalam memperluaskan perniagaan automotifnya menerusi perkhidmatan mobiliti inovatif yang selari dengan perubahan gaya hidup pengguna masa kini.

Kurangkan Kebergantungan Kepada Pemilikan Kenderaan

Menurut Perodua, generasi muda kini lebih cenderung untuk menikmati pengalaman menggunakan pelbagai jenis kenderaan berbanding memiliki kenderaan sendiri. Faktor seperti kos penyelenggaraan, kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan trafik mendorong mereka mencari alternatif mobiliti yang lebih fleksibel.

Justeru, syarikat itu yakin UCar-e mampu membantu mengurangkan cabaran tersebut selain membuka ruang kepada pembangunan lebih banyak perkhidmatan mobiliti pada masa hadapan di bawah ekosistem perniagaan Perodua yang semakin berkembang.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kerjasama itu dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoA) yang ditandatangani…
Berita Domestik
"Dari segi dalaman, kami sedang berdepan beberapa masalah pengeluaran berkaitan QV-E. Kami sudah…
Berita Domestik
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata berdasarkan…