Perodua naikkan sasaran jualan kepada 235k untuk 2019 - belian komponen tempatan sehingga RM5.4 bilion

oleh HEZERI SAMSURI|
Perodua telah mengubah unjuran jualan mereka untuk tahun 2019 dari 231,000 unit kepada 235,000 unit, peningkatan sebanyak 4,000 unit.

Tahun lalu, Perodua menjual sebanyak 227,243 unit, jumlah jualan tahunan tertinggi untuk jenama nasional dari Sungai Choh, Rawang itu.

Untuk separuh tahun 2019, Perodua telah pun menjual sebanyak 121,800 unit kenderaan, 4 peratus lebih tinggi dari jumlah 117,100 unit yang terjual dalam sela masa yang sama untuk tahun 2018.

Menurut Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, jumlah tempahan dari Januari ke Jun sudah mencapai angka 190,765 unit, 3 peratus lebih tinggi dari waktu yang sama tahun lalu.

Model Myvi kekal sebagai produk paling popular dari jenama tersebut.

Jumlah pengeluaran kenderaan dari kedua-dua kilang Perodua itu juga dijangka akan meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 249,000 unit (jualan domestik, eksport dan pengumpulan stok). 

"Kedua-dua kilang Perodua sedang beroperasi dalam dua syif sehari dengan kerja masa tambahan (OT) sebanyak 2.5 jam setiap hari.

Purata kecekapan operasi untuk kilang-kilang Perodua juga berada di tahap tertinggi untuk industri, pada 97 peratus sementara jumlah Kecacatan Per Unit (DPU) terus menurun dan mengikut perancangan Perodua.

 

 

Bagi eksport, Perodua dijangka akan mengeksport sebanyak 3,270 unit kenderaan mereka ke pasaran luar, terutama Indonesia.

"Indonesia kekal sebagai pasaran luar terbesar Perodua, dengan model Myvi. Setakat ini, sebanyak 1,030 unit Myvi telah dieksport ke negara itu untuk separuh pertama tahun 2019," terang Zainal.

Jumlah kemasukan kenderaan untuk pusat servis Perodua pula diramalkan kekal sama pada 67 peratus.

"Peningkatan permintaan untuk produk Perodua turut memberi impak kepada industri automotif negara, di mana pembelian komponen sepanjang waktu itu mencapai jumlah RM2.7 billion," terang beliau.

Zainal kemudian berkata Perodua meramalkan pembelian komponen akan mencecah RM5.4 bilion pada penghujung tahun ini.

"Perodua sudah sampai ke peringkat untuk menjual produk-produk mereka di pasaran luar secara berperingkat dan berterusan. Namun begitu, ini adalah perancangan jangka panjang kerana pembinaan jenama memerlukan masa."

"Kami mahu Malaysia berbangga dengan kejayaan Perodua," tambahnya.

Zainal berkata Perodua sedang bekerjasama dengan Daihatsu Motor Company dari Jepun untuk membina rangkaian pembekal komponen tempatan bagi pasaran antarabangsa.

"Ia akan menjadi komitmen Perodua untuk membina industri sokongan automotif Malaysia," ujar Zainal.

 

 

Untuk ramalan jualan bagi separuh tahun kedua 2019, tindakan Bank Negara untuk merendahkan Overnight Policy Rate  bakal mengukuhkan kuasa membeli tempatan.

"Namun begitu, harus diingatkan bahawa jualan tahun 2018 dibantu oleh cuti cukai yang diberikan oleh kerajaan selepas pilihanraya ke-14."

Menurut pengiraan Perodua, Jumlah Jualan Kenderaan Negara (TIV) untuk separuh pertama 2019 telah melepasi ramalan awal dengan pengembangan 2.4 peratus, iaitu sebanyak 296,800 unit.

Namun begitu, Zainal berpendapat prestasi jualan untuk separuh kedua tahun 2019 tidak akan sehebat 2018 kerana tidak ada lagi cuti cukai.

"Momentum jualan untuk separuh kedua tahun 2019 kami jangkakan akan melihat penurunan," terang beliau.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Sistem keselamatan ASA 2.0 pula ialah sama seperti yang dipasang pada Aruz. ASA 2.0 terdiri…
Berita Domestik
  “Pemeriksaan Tweckbot 50-poin merangkumi enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng…
Berita Global
Pengedar tempatan, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, telah mempamerkan Perodua Myvi di Defi Media…