Perodua Myvi Gen-3 - yang baik dan yang buruk

oleh HEZERI SAMSURI|
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

 

Perodua melancarkan Myvi generasi ketiga mereka bulan lalu dan ramai media telah memuat-naik pelbagai video-video berkenaan Myvi baharu.

Ini memang dijangkakan dan kali ini Perodua menyediakan unit Myvi untuk ujian media yang cukup. 

Pada pendapat Careta, Myvi ialah satu kenderaan "default". Tak faham? 

 

Contohnya, jika anda memandu BMW, anda seorang yang berharta dan seterusnya dengan kenderaan-kenderaan lain tetapi dengan Myvi, tidak ada seorang pun yang mampu mengagak siapakah anda kerana dari pengalaman kami, Tan Sri pun ada yang memandu Myvi.

Begitu juga dengan pelajar, suri rumah, graduan baharu, cikgu sekolah, doktor, akauntan, pelukis, jurutera, pendidik dan ramai lagi.

 

myvi badge

 

Kerana itu pada Careta, Myvi ialah kenderaan mampu milik negara dan juga menjadi belian "default" untuk ramai pengguna yang hanya mahukan sebuah kenderaan ringkas, lasak dan praktikal.

Jadi apa yang boleh dilakukan untuk sebuah model yang begitu ikonik?

Careta memandu uji selama empat hari akan Myvi 2018 ini dan di bawah ialah apa yang kami rasakan perubahan yang dilakukan untuk menjadikan Myvi 2018 ini lebih baik dari dua generasi seterusnya.

 

 

Rekabentuk citarasa tempatan

Sebelum ini, Perodua terikat dengan platform dan kerangka Daihatsu. 

Perubahan yang dilakukan dahulu terhad kepada bahagian luaran, hadapan dan belakang agar ia lebih berdaya saing untuk pasaran tempatan.

Harus diingatkan, pasaran Daihatsu untuk model Boon di Jepun lebih kepada suri rumah dan pelajar kolej atau golongan pencen.

Tidak di Malaysia di mana ia dipandu oleh ramai, termasuk golongan muda. Memang akan ada golongan muda yang sanggup menukarkan ia kepada komponen Jepun agar nampak lain tetapi ini ialah citarasa subjektif, ramai yang tidak akan melakukan modifikasi ekstrem.

 

Front quarter view

 

Myvi 2018 jauh lebih sporti dan meninggalkan bentuk kuih pau kepada rekabentuk yang lebih dinamik. Ia lebih kepada sebuah Toyota Corolla IM, dan walaupun nampak seiras, ia tidak sama.

Careta percaya kerana Perodua berada di bawah payung Toyota dan Daihatsu, perekabentuk tempatan perlu menerapkan sedikit bentuk kejepunan agar Myvi ini mampu dijadikan sebuah Daihatsu Sirion untuk pasaran lain.

Kerana itu, ia perlu mempunyai design language yang sama dengan model-model lain di dalam payung syarikat itu.

Bangga juga kerana Jepun yang terkenal kerana bengis dan ego mereka mahu menggunakan rekabentuk rakyat Malaysia untuk model jenama mereka sendiri.

 

 

Ruang kabin lebih praktikal

Ruang dalam memang penting kerana selepas menghayati kecantikan Myvi ini, pastinya kita mahu beradu di dalamnya pula.

Wheelbase atau jarak roda yang lebih panjang membantu mencipta ruang yang luas. 

Muslihat yang sama juga digunakan untuk menampakan keluasan kabin - iaitu tempat duduk direka agar lebih kecil.

 

Tempat duduk hadapan datang dengan ciri bucket, tetapi lebih sesuai kepada pembeli berbadan ramping.

Untuk mereka yang sasa dan berangka besar, tempat sandar belakang akan berada di bawah bahu dan bucket sisi memang dihenyak oleh peha.

Di sini, Careta rasa tempat duduk Myvi ada banyak ruang untuk dibaiki agar ia lebih memuatkan banyak lagi saiz pembeli.

 

boot myvi

 

Ruangan boot juga lebih besar, tetapi tidaklah sebesar kenderaan lain seperti Honda Jazz contohnya pada 363 liter.

Namun begitu, berbanding dengan Protonn Iriz, boot Myvi besar sedikit pada 277 liter berbanding dengan 215 liter pada Iriz.

Papan pemuka gaya modern

Ini ialah satu lagi kelebihan apabila Perodua diberi peluang untuk merekabentuk kenderaan mereka sendiri. 

Papan pemuka Myvi baharu jauh lebih bersifat sporty dan dan mempunyai ciri-ciri yang ada pada Toyota, bukan Daihatsu.

Ini bermakna ia rasa lebih premium, walaupun masih lagi ada panel-panel yang nampak terlalu ringkas.

 

myvi door

 

Panel pintu contohnya, tidak langsung menampakkan ciri kemewahan dan panel plastik bercat masih banyak dan ia tidak membantu dari segi penggayaan.

Stereng dan tombol gear memang diberi pujian yang tinggi kerana ia sedap dipegang dan kualiti pembuatan memang setaraf dengan jenama asing.

Stereng terutamanya, memang nampak agresif dan sedap digenggam.

Tombol gear pula masih ringkas seperti dahulu - tidak ada gated shift pattern dan memang mudah untuk termasuk ke D3 walhal kita mahu ke D. 

Mungkin tidak ada sebarang aduan, maka tidak ada keperluan untuk menukar kepada gated-pattern di sini.

 

Pendingin hawa kini lebih bijak

Pendingin hawa ialah satu kelengkapan penting untuk negara kita.

Untuk Myvi 2018, prestasi pendingin hawa atau A/C itu sama baik dengan yang lama cuma Careta rasa ia lebih senyap.

Aliran udara sejuk ke belakang juga nampaknya lebih segera sampai ke penumpang.

 

AC modes

 

Ia juga lebih bijak kerana untuk varian High Spec, kawalan A/C mempunyai dua butang Memory yang boleh disetkan.

Apa yang Careta lakukan ialah Memory 1 untuk tenaga sejukan maksimum, berguna bila masuk ke Myvi ini pada tengahari panas. 

Memory 2 pula untuk mode malam yang lebih sederhana dan tidak terlalu sejuk. Ngam-ngam, kata rakan kami.

 

Paparan meter ringkas sangat la Kak Ngah.

Paparan meter atau IP memang nampak ringkas dan speedometer menunjukan halaju maksimum 220 kmsj.

Angan-angan kerana Careta tidak dapat melihat jarum penunjuk melangkaui nombor 180 kmsj. Mungkin boleh, kalau dihumban dari kapal terbang pada ketinggian 4,000 meter.

Panel digital di tengah itu nampak cantik dan modern, terutama kepada mereka yang baharu menjual Toyota KE30 atau Datsun Buah Kana ataupun Mazda Pokok-ke-Pokok mereka dan terus kepada Myvi 2018.

 

info display

 

Bila dibandingkan dengan kenderaan model lain, panel digital ini mengggunakan skrin macam yang ada pada jam tangan Q&Q.

Kami rasa ia patut menggunakan skrin LCD yang lebih berdefinisi tinggi dan kalau boleh, yang berwarna.

Kos? Jika semua model Perodua menggunakan skrin itu, pastinya kos akan turun. 200,000 unit setahun terjual bukan jumlah yang sedikit!

 

Lampu LED bakal jadi sumber sumpahan?

Ya, ini adalah satu kejutan.

Lampu LED secara lazimnya ada pada kenderaan mewah, tetapi ada juga kenderaan dengan harga mewah datang dengan lampu halogen atau HID sahaja, bukan LED.

Beza lampu LED ialah serakan dan lontaran cahaya lebih sekata.

Jika dulu, kita tidak boleh nampak garisan pemisah antara tempat yang terkena lontaran cahaya lampu kita dengan tempat yang gelap, lampu LED menunjukan satu garisan lurus di antara kawasan terang dan gelap.

 

myvi lights

 

Ada yang berkata, bukankah lampu jenis ini diharamkan?

Tak apa, jangan marahi mereka. Bukan semua faham. 

Lampu LED atau HID yang memang dilengkapkan kepada kenderaan itu dari kilang, bermakna ia adalah kelengkapan asal kenderaan itu, dibenarkan.

Tetapi, ia perlu datang dengan alat mengubah ketinggian lampu hadapan dari tempat pemandu. Kebanyak kereta mewah menggunakan alatan elektrionik untuk mengawal dongak lampu hadapan secara automatik.

 

adjuster headlight

 

Untuk Myvi 2018, ia menunggunakan "headlight leveler" (gambar atas) secara manual. Ini bermakna jika Myvi 2018 membawa penumpang dan beban berat, lampu akan mendongak dan menyilaukan pemandu di hadapan.

Pemandu perlu merendahkan dongakan lampu hadapan secara manual. Caranya sangat mudah tetapi menurut pengalaman kami, pemandu Malaysia ramai yang mempunyai alahan pada buku manual kenderaan.

 

LEd lights

 

Saranan kami, sebelum imej Myvi diburukan, eksekutif jualan Perodua harus mengingatkan pemandu Myvi baharu ini agar prihatin tentang pemandu lain di jalanraya kerana terus-terang Careta katakan, lampu LED ini sangat terang dan bagi mereka yang berusia di atas 40 tahun, ia memang sangat-sangat menyilaukan!

 

Enjin Sendayan, 4-speed auto

Varian pandu uji Careta ialah dari jenis Myvi 1.5L AV Automatik, iaitu varian paling premium yang ada di dalam keluarga Myvi ini.

Kerana itu, enjin yang ada di bawah hood itu ialah enjin 2NR-VE 1,496 cc DOHC dengan Dual VVT-i, empat silinder, dengan teknologi Toyota.

Enjin ini juga dibuat di kilang Sendayan, Negri Sembilan. Ada haters berkata, ini enjin Jepun, tak guna dibanggakan. 

 

Myvi AV badge

 

Baiklah, kita biarkan mereka dengan enjin negara mana yang mereka sukakan kerana untuk ramai pembeli, mereka mahukan enjin yang terkenal dengan tahan lasak, menjimatkan, mudah dan murah untuk diselenggara.

Enjin yang dibina di kilang tempatan ini menggunakan komponen tempatan secara maksimum dan kilang itu menjana sumber pekerjaan untuk rakyat di sekitar lokasi itu.

Berbalik kepada enjin 1.5L ini, memang ia berkuasa untuk sebuah Myvi beratnya lebih sedikit dari satu tan - 1,015 kg.

Tenaga maksimum ialah 103.3 PS dan tork maksimum ialah 136 Nm.

 

gear kenob

 

Transmisi 4-kelajuan automatik membenarkan pecutan yang mantap dan tork pula dicapai dengan mudah, terbukti semasa Careta mendaki Bukit Fraser's (seorang penumpang sahaja).

Jika dibandingkan dengan Proton Iriz, seteru utama Myvi menurut para netizen, enjin 2NR-VE memang lebih rendah tenaga berbanding enjin Campro 1.6L yang menghasilkan 107hp dan 150 Nm tetapi Careta rasakan cukup mudah untuk mencapai kuasa maksimum dengan enjin Myvi kerana enjinnya senang di "tarik" bermain pada RPM tinggi.

 

Stereng lebih telus?

Ya, stereng elektrik pada Myvi ini terasa berkali-ganda jauh lebih baik dari yang ada pada Bezza dan Axia.

Ia seperti stereng Iriz pada mulanya - terus terasa "direct" dan tidak terasa seperti dikawal oleh motor elektrik.

Semasa mendaki Bukit Fraser's di laluan yang berliku-liku itu, Careta tiada masalah untuk melakukan "placement" dengan stereng Myvi 2018.

Maksud Careta ialah mudah untuk menempatkan Myvi ini pada tempat yang diingini di atas jalanraya ketika memandu laju.

 

myvi turun frasers

 

Ia tidak lembab, dan ia tidak terlalu sensitif. Ia responsif untuk sebuah kenderaan harian.

Jangan pula ada yang berkata ia seperti sebuah stereng BMW atau Alfa Romeo pula - itu melampau!

Apapun, Careta tahun majoriti pembeli Myvi 2018 haram tak akan tahu apa maksudnya responsif steering sehingga diterangkan dan baharulah mereka akan terangguk-angguk setuju (walaupun dalam hati bertanya apa kejadah mamat ini bercerita).

 

Brek dan VSC - ngam!

Antara kelemahan Myvi sebelum ini ialah ketiadaan sistem VSC dan prestasi membrek yang boleh kami katakan sangat hambar.

Ia tidak ada rasa solid dan "brake feel" juga lebih hampir kepada tiada. 

Untuk Myvi baharu ini, boleh dirasakan sedikit brake feel pada pedal brek. Mungkin juga agihan berat dan sistem gantungan sudah semakin baik, maka terasa juga kereta ini memberi tindak balas sertamerta bila brek dihenyak di selekoh atau bila trail braking dilakukan untuk tidak menganggu sangat peralihan berat.

Ketika Careta memandu di laluan Kuala Kubu Baru sewaktu hujan, sistem VSC atau Vehicle Stability Control nampak bekerja keras.

Careta katakan "nampak" kerana lampu VSC berkelip-kelip umpama lampu lip-lap pada malam Hari Raya.

 

meter IP

 

Namun sistem VSC ini tidak terasa bila beroperasi dan ini sangat penting. VSC sepatutnya bertindak seperti itu - senyap kerana ia tidak patut menakutkan pemandu dengan secara tiba-tiba "merampas" kawalan kenderaan.

VSC pada Myvi ini secara perlahan mengawal kembali kenderaan agar berada di laluan sebenar, bukan ke dalam gaung.

Careta "tabik spring" kepada jurutera bahagian ini kerana berjaya menghasilkan VSC yang tidak begitu "intrusive".

 

Lebih senyap? Memang tetapi ...

Pada mulanya, Careta rasakan ia memang sebuah kenderaan yang senyap.

Memang ia senyap, berbanding dengan Myvi yang lama atau model-model Perodua yang lain.

Antara sebab kenapa ia lebih senyap dan juga kurang gegaran ialah enjin yang baharu itu dan juga "harmonic resonance" yang berjaya dikawal baik oleh jurutera-jurutera Perodua.

Tidak terasa enjin hendak meletup bila RPM naik tinggi dan pedal-pedal juga tidak bergegar teruk bila kereta dipandu laju (ada ya kereta yang seperti itu, terasa hendak runtuh jantung bila RPM tinggi).

 

myvi front

 

Bunyi enjin dikawal rapi agar tidak banyak yang menerobos masuk ke dalam kabin, dan antara yang membantu ialah acoustic windscreen yang digunakan pada Myvi 2018 ini.

Acoustic windscreen ialah sejenis cermin hadapan yang direka agar mempunyai lapisan istimewa untuk menapis gelombang bunyi enjin dari masuk ke dalam kabin. Ia sangat-sangat membantu dan seperti lampu LED, semua varian Myvi 2018 datang dengan cermin hadapan itu.

Nasihat Careta, jangan lupa ambil polisi tambahan cermin hadapan kerana acoustic windscreen BUKAN murah. 

Untuk taukeh kedai cermin kereta dan juga agen insuran kenderaan, sila print screen kenyataan kami ini sebagai bahan rujukan anda kelak.

 

Ciri-ciri lain yang istimewa? 

Ada beberapa ciri-ciri Myvi 2018 yang membuatkan peminat Myvi rasa wow dan sebenarnya, kami juga rasa wow kerana tidak dibuat oleh pengeluar lain.

Contohnya pengikat sangkut beg tangan di tempat duduk penumpang hadapan.

Diperkenalkan semasa Axia dan Bezza, ia juga ada pada Myvi 2018. Careta tidak pernah menggunakannya tetapi penulis yang berbadan besar ini kerap tersinggul dengan siku pada alat ini. 

 

USb charger

 

Pada bahagian sisi tempat duduk pemandu pula, ada satu poket untuk henfon dan juga satu soket USB, sesuai untuk penumpang dibelakang gunakan.

Ini satu ciri yang wow phewwwiiit dan tak pernah dilihat oleh kami. Praktikal dan very Malaysian!

Wiper atau pengelap hujan hadapan pula menggunakan "frameless blade" atau bilah tanpa rangka (hodoh benar bunyinya di dalam Bahasa Malaysia).

 

wiper

 

Untuk pemandu yang "berskil tinggi", ada pengesan objek atau sensor di setiap penjuru bamper hadapan, khas untuk membantu anda bila parkir.

Dan untuk pastikan Myvi ini mecapai tahap 5-bintang dalam ujian Asean NCAP, ada pengesan pemakaian talipinggang keledar untuk semua tempat duduk.

Jika pemandu dan penumpang hadapan gagal menggunakan talipinggang keledar, bunyi amaran akan dikeluarkan. 

Untuk penumpang belakang, akan ada logo pada panel digital di antara meter untuk memberitahu pemandu penumpang mana yang degil dan tidak memakai talipinggang keledar.

 

rear seatbelt warning


Diharapkan pada masa hadapan, Perodua mungkin akan terjumpa dengan teknologi-teknologi seperti Auto Headlight dan Auto Wiper yang sebenarnya sangat lazim tetapi tiada pada Myvi ini.

 

 

Sambil itu, Careta juga berharap agar sistem audio ditukar kepada yang mampu memberikan bunyi audio yang lebih baik dari kualiti radio transistor National dengan dua bateri AA serta port USB yang berada pada konsol dashboard di bahagian belakang tombol gear, bukan tercacak pada skrin radio.

Skrin sentuh itu juga ada  mempunyai beberapa butang virtual yang kecil dan sukar ditekan oleh mereka yang berjari montok.

 

 

Advanced Safety Assist (ASA)

Ini ialah satu revolusi oleh Perodua, sama seperti lampu LED.

Ia juga seperti meningkatkan penanda aras kenderaan pada harga Myvi untuk dilengkapi dengan lampu LED dan sistem keselamatan seperti ASA.

Walaupun ramai yang tidak akan menggunakan ASA lebih dari sekali seumur hidup, ia masih menjadi satu alat keselamatan yang berguna disaat yang paling kita tidak teringat akannya (used when it was least expected).

Careta juga yakin sistem seperti ASA sepatutnya mampu merendahkan lagi kos premium insuran kenderaan kerana ia membantu merendahkan risiko perlanggaran semasa keadaan sesak (traffic jam).

Dengan lampu LED yang mahal di hadapan, sistem ASA ini memang membuatkan ramai syarikat insurans mengurut dada masing-masing tanda lega.

Baca penerangan apa itu sistem ASA dalam artikel pada pautan ini

 

 

Pengendalian lagi hebat?

Yang ini bab sensitif kerana ramai mengetahui Perodua tidak mempunyai pengendalian yang sporty - lebih kepada santai.

Sebenarnya, tidak juga. Untuk selekoh-selekoh pendek dan tajam seperti di laluan kebangsaan, pengendalian Bezza, Axia dan Myvi lama boleh dikatakan memadai.

Ia tidak begitu bersepah kerana Careta tahu ada banyak lagi kenderaan lain yang bukan setakat bersepah, tetapi lebih kepada mengendalikan sebuah tongkang membawa tong-tong berisi tempe mentah.

Namun kelemahan sebenar pengendalian kenderaan Perodua ialah bila berada di lebuhraya. Ini ada kena mengena dengan berat kenderaan dan juga aerodinamik badanya.

Kerana itu, ia mengalami masalah gelombang angin sisi yang membuatkan ianya bergoyang dan bergegar seperti perut gajah ketika berlari.

 

Myvi jazz

 

Untuk Myvi 2018, pengendalian di selekoh dirasakan lebih kemas dan lebih senang dijangka.
Ia tidaklah sehebat Honda Jazz atau Proton Iriz, tetapi jauh lebih baik, lebih dinamik dan lebih sporty dari model Myvi yang digantikannya.

Seperti Myvi generasi kedua, satu set sistem gantungan yang baik seperti dari jenama F Tune Racing Suspension sudah cukup untuk menjadikan Myvi baharu ini lebih seronok dipandu.

 

 

Harga berbaloi?

Rasanya ini tidak perlu diceritakan lagi kerana dengan harga yang bermula dari serendah RM44,300 sehingga RM55,300 lengkap dengan lampu LED, acoustic windscreen, sistem ASA, VSC dan enam beg udara, tidak ada lagi kenderaan selengkap itu.

Cuma jika anda mahukan keluasan, keselesaan dan prestasi pemanduan yang lebih seronok, rasanya ada model lain pada harga yang lebih kurang sama dengan Myvi ini.

Apa pun, ini ialah Myvi, dan semua orang tahu akan track record cemerlang model Perodua ini.

Syabas Perodua.

 

fog myvi

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Gambungan dua model ini merangkumi 57 peratus jumlah pengeluaran kereta Perodua pada bulan Ogos.…
Berita Domestik
Menurut Paultan, MCE Holdings, menyatakan bahawa anak syarikatnya Multi-Code Electronics Industries…
Berita Domestik
Beliau berkata, jumlah tempahan tertunggak kedua-dua pengeluar kereta itu ketika ini berkurangan…