Namun, mungkin ada yang terperasan, penawaran Perodua Myvi untuk kali ini tidak menampilkan walau satu pun varian bertransmisi manual.
Kenapa begitu?
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam sidang previu Myvi facelift tempoh hari menjelaskan, keputusan untuk menggugurkan varian transmisi manual adalah disebabkan oleh pasaran yang lebih menggemari transmisi automatik yang lebih mudah dan senang untuk dibawa.
Malah, berdasarkan statistik pengguna Myvi sehingga sekarang, jumlah pengguna yang memilih untuk membeli model bertransmisi manual sebenarnya tidak pun sampai satu atau dua peratus daripada jumlah keseluruhan Myvi yang telah terjual.
Disebabkan itu, Perodua membuat keputusan untuk menggugurkan penawaran transmisi manual ini, namun bergantung kepada permintaan pasaran, Perodua mungkin akan mempertimbangkan kembali penawaran transmisi ini pada masa akan datang.

Biarpun begitu, Perodua sebenarnya telah memastikan varian paling mampu milik Myvi dilengkapi dengan ciri-ciri yang maju seperti contoh penggunaan transmisi D-CVT yang lebih jimat bahan api, lampu depan LED, penampilan yang lebih bergaya serta penawaran ciri keselamatan yang merangkumi ASA 3.0, Bantuan Suluhan Tinggi, Amaran Keluar Lorong, serta Pengelakan Keluar Lorong dengan tambahan RM2,000 sahaja.
Sebagai makluman, unit D-CVT yang digunakan oleh Perodua Myvi 2022 ini dipasang di kilang Perodua yang terletak di Sendayan.