Perodua Myvi 1.5X - hatchback bawah RM50k paling berbaloi?

oleh Mohamad Hanif|
Siapa yang tidak kenal dengan hatchback (atau hot hatch) kegemaran rakyat Malaysia, Perodua Myvi. Model ini telah pun diberikan kemaskini untuk tahun ini dengan membawakan beberapa perubahan yang agak besar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kali ini, Perodua bukan sahaja memperkemaskan rupa paras model Myvi yang sudah tersedia garang itu, akan tetapi menambahbaik ciri keselamatan yang mampu meninggikan lagi penanda aras di dalam segmennya.

Tidak mahu berceloteh panjang, penulis mahu kongsikan beberapa perkara yang menarik berkenaan model Myvi 1.5X yang sempat dipandu uji selama beberapa hari.

 

1. Rupa paras Myvi baru lebih agresif (dengan kit GearUp)


Unit yang dipinjamkan ini sebenarnya dilengkapi dengan kit badan GearUp bagi menjadikan rupa paras Myvi seperti sebuah hot hatch sejati.

Kit badan Ace GearUp ini menampilkan penambahan pada bampar depan, skirt sisi, penambahan pada bampar belakang, diikuti dengan spoiler belakang yang cun melecun itu.

Jika anda memandu di lorong kanan, kereta di depan sudah pasti akan tergesa-gesa memberikan laluan kepada anda, biarpun anda sebenarnya sedang memandu mengikut halaju lebuh raya.

Hey, siapa berani lawan 'king' kan?
 

2. Pemanduan lebih menyeronokkan dengan D-CVT


Versi facelift kali ini masih lagi mengekalkan enjin 2NR-VE 1.5 liter yang berupaya menghasilkan kuasa setinggi 102 hp dan daya kilas 136 Nm.

Cukup berkuasa, dan penulis yakin para pemilik Myvi tidak mempunyai sebarang komen pun, memandangkan ini kereta yang paling laju atas lebuh raya mahupun jalan biasa.

Cuma yang membuat penulis sedikit teruja adalah kehadiran gear D-CVT menggantikan kotak gear automatik empat kelajuan pada model terdahulu.

Apa yang penulis perasan, penggunaan gear baharu ini membolehkan pemanduan yang jauh lebih lancar, pecutan awal yang lebih cepat dan senang pula untuk mencapai angka kelajuan 140 km/j tanpa perlu menekan pendikit secara agresif.
 

myvi


Malah pada kelajuan 100 km/j secara malar, kadar putaran enjin juga sebenarnya berada di bawah 2,000 rpm sahaja, tanpa diiringi dengan bunyi bising enjin dan transmisi yang bekerja keras bagi memastikan kelajuan tersebut dicapai.

Penggunaan bahan api juga lebih menjimatkan, di mana menurut Perodua, ia mampu mencapai angka serendah 4.7 liter untuk setiap 100 km, mungkin sekali untuk pemandu yang sopan santun di atas jalan raya.
 

3. Paparan meter yang jauh lebih ringkas.


Penulis amat menghormati perubahan ini, kerana sudah sampai masanya untuk Myvi melupakan paparan panel meter jenis optitron dengan kombinasi warna yang sangat terang dan menyakitkan mata itu.

Paling penting, keseluruhan panel meter ia amat mudah sekali untuk dibaca, biarpun nampak sedikit asas disebabkan ia didatangkan dengan paparan MID LCD, tidak seperti paparan TFT berwarna pada model AV.
 

4. Sistem pendingin hawa dengan fungsi memori


Tiada lagi tombol-tombol fizikal, Perodua Myvi kali ini menampilkan kawalan pendingin hawa berbentuk butang dengan paparan digital.

Lebih menarik, ia turut didatangkan dengan fungsi Memori yang mampu untuk mengingati tetapan suhu yang telah dibuat oleh pemandu/penumpang.

Susun atur butang juga mudah untuk dicapai dan digunakan, cuma ada kalanya penulis keliru dengan simbol yang digunakan untuk mengawal suhu.

Mungkin sebab sudah terbiasa dengan kawalan berbentuk warna biru dan merah, atau berbentuk nombor darjah suhu yang ada pada kereta-kereta lain.

 

5. Perlindungan keselamatan terbaik untuk kereta bawah julat RM50,000


Tatkala ada pesaing yang masih lagi tidak boleh move on dengan penawaran beg udara sebanyak dua unit, Perodua Myvi tampil dengan empat buah beg udara SRS secara standard.

Hey, zaman bila pakai dua beg udara ni kan?

Selain daripada ciri seperti ABS, EBD, VSC, dan TRC, Perodua juga berani membawakan penawaran ASA 3.0 bermula dari varian 1.3G merangkumi ciri-ciri seperti amaran pra-pelanggaran, brek pra-pelanggaran*, amaran pergerakan kenderaan depan & kawalan salah operasi pedal, diikuti dengan ciri seperti Bantuan Suluhan Tinggi (AHB), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Pengelakan Keluar Lorong (LDP).

*julat kelajuan 4-120 km/j untuk kenderaan termasuk motosikal, 4-60 km/j untuk pejalan kaki, siang dan malam (untuk kereta sahaja)
 

MYVI


Ciri ASA 3.0 ini sememangnya amat berguna terutama ketika di dalam bandar apabila kita berdepan dengan situasi yang tidak dijangka, seperti kereta depan berhenti mengejut atau tidak sedar kereta depan sudah mula bergerak.

Terkejut dek amaran bila menukar lorong?

Itu tandanya anda sendiri tak reti nak bagi isyarat lampu ketika memotong!

 

Bonus: Ciri lampu utama automatik


Penulis kerap kali terserempak dengan segelintir pemilik Perodua Myvi (generasi terdahulu) yang tidak memasang lampu utama ketika pada waktu malam.

Sama ada terlupa, ataupun mereka sememangnya mempunyai penglihatan malam yang lebih hebat berbanding haiwan.

Untuk kemaskini baharu ini, penulis perasan suis kawalan lampu utama baharu itu tidak disertakan dengan opsyen OFF, sebaliknya ia hanya ditawarkan dengan tiga tetapan iaitu Auto, lampu posisi dan lampu utama.
 

MYVI


Ciri yang amat bagus untuk mereka yang sering kali lupa untuk menghidupkan lampu utama ketika waktu malam.

Dengan tambahan ciri bantuan suluhan tinggi automatik yang amat berguna pada waktu malam, ia sekaligus membuatkan Perodua Myvi 1.5 X ini terasa agak mahal berbanding pesaing-pesaingnya.

Jelas sekali, di bawah julat RM50,000 Perodua Myvi 1.5X ini dilihat satu pilihan yang agak menarik, namun ada beberapa perkara yang penulis akan ubah sekiranya jadi nak beli Myvi 1.5X ini:

 

1. Tukar tempat duduk yang lebih selesa


Ini merupakan satu perkara yang masih lagi membelenggu penulis, sejak dari mula-mula menguji Myvi pra-facelift sehinggalah kepada Myvi 1.5X ini.

Ini kerana kerusi yang dibekalkan sejak dari kilang dilihat gagal untuk memberikan sokongan bawah kaki yang baik, dan ia membuatkan kaki rasa tergantung dan pemandu rasa lebih penat ketika melakukan perjalanan jauh atau menempuh kesesakan trafik di Lebuhraya Persekutuan.

 

2. Sistem audio ringkas sangat!


Satu kekurangan yang nyata, sistem audio Myvi 1.5X ini terlalu ringkas, biarpun didatangkan dengan sokongan Bluetooth dan USB.

Ditambah pula dengan kualiti bunyi yang baik sedikit daripada radio mudah alih Palito zaman sekolah dulu, adalah lebih baik jika anda laburkan sedikit wang untuk dapatkan unit Android Player dengan spesifikasi yang lebih baik.

Banyak pilihan dan spesifikasi yang ada di dalam pasaran (macam peranti pintar), cuma yang penting adalah seberapa besar bajet yang anda mahu keluarkan.

 

3. Cari dashcam depan dan belakang


Dalam katalog GearUp, Perodua ada menawarkan peranti rakaman pemanduan (dashcam) pada harga RM500 yang mempunyai keupayaan rakaman 1080p HD.

Alternatifnya, anda boleh mencari sendiri produk dashcam yang ada di pasaran, dan dengan keupayaan menyokong rakaman depan dan belakang pada harga yang setanding.

 

4. Pasang DRL


Sayang sekali kerana penawaran lampu nyalaan siang DRL LED pada Myvi ini hanya dikhususkan untuk varian-varian H dan AV, dan tidak tertakluk kepada varian rendah G dan X.

Jadi, ini mungkin perkara terakhir yang penulis mungkin akan buat bagi melengkapkan lagi imej sporti Myvi ini, jika penulis mempunyai rezeki untuk menyambar sebuah Myvi baharu pada harga bawah RM50,000.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Apa tidak popularnya, jika ada video viral di media sosial, Myvi sering menjadi ‘watak utama’ atau…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, berdasarkan rakaman berdurasi 39 saat…
Berita Domestik
Katanya, video berdurasi 60 saat itu menunjukkan sebuah kereta jenis Myvi warna kelabu dipandu…