Perodua Elektrik/Hibrid mungkin lebih awal dari dijangka

oleh HEZERI SAMSURI|

Perodua, syarikat kenderaan usahasama Malaysia bersama Daihatsu dijangka akan menghasilkan produk berteraskan teknologi elektrik/hibrid lebih awal dari dijangka ramai.

Pengumuman demi pengumuman berkaitan kerjasama Toyota, abang kepada Daihatsu/Perodua dengan syarikat kenderaan Jepun yang lain seperti Suzuki dan Subaru menjadi antara tanda ini mungkin terjadi.

Seorang penanalisis automotif yang ditemui oleh Careta semasa Hari Raya tempohari menyuarakan pendapat beliau berdasarkan perkembangan terbaharu tersebut.

Semalam, Toyota sendiri dengan rasminya mengumumkan sebuah kenderaan kompak elektrik yang bakal dibina melalui anak syarikatnya Daihatsu bersama Suzuki.

Sebelum ini, Toyota telah mengumumkan untuk menghasilkan kenderaan-kenderaan berteknologi tinggi bersama Suzuki untuk pasaran Eropah dan juga untuk menggunakan kenderaan Suzuki sedia ada untuk pasaran Toyota di Afrika.

"Apabila Daihatsu terbabit, besar kemungkinan Perodua juga akan bersama dalam projek tersebut kerana Daihatsu dan Toyota sudahpun mengiktiraf tenaga mahir Perodua di dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan baharu," terang penganalisa tersebut.

"Myvi dan Bezza adalah contoh terbaik di mana Daihatsu sudah mula memberikan lebih banyak ruang untuk Perodua menunjukan kemahiran sebenar mereka. Walaupun proses R&D banyak berlaku di Jepun, ia masih dihasilkan oleh tenaga tempatan dengan bantuan Daihatsu."

Perkembangan kenderaan elektrik atau hibrid sudah mula berkembang pesat di Asia Tenggara dan Malaysia menjadi antara pelopornya.

Namun begitu penganalisa itu berkata walaupun Malaysia sering menjadi pelopor teknologi, syarikat asing tetap terbukti memilih negara-negara lain seperti Thailand untuk dijadikan pusat pemasangan bagi pasaran Asean ataupun Asia Pasifik.

"Ini adalah fakta yang kita sendiri dapat lihat. Walaupun kita diberitahu bahawa negara Malaysia mempunyai kelebihan dari segi penguasaan Bahasa Inggeris, kestabilan politik, perancangan perdagangan yang telus dan rapi serta tenaga mahir, syarikat-syarikat kenderaan dunia berpusu-pusu ke negara lain."

Belia menambah bahawa Vietnam sendiri semakin menarik perhatian pelabur asing. 

"Jika kita mahukan tren ini berubah, mungkin pemimpin Malaysia perlu merendah diri dan mengaku kesilapan serta bangkit dengan pakej-pakej yang lebih menarik untuk pelabur asing."

"Atau mungkin kita cuma berpuas hati dengan Geely yang sudah berjanji untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produk China?" soalnya.

Beliau bagaimanapun tidak begitu yakin dengan rancangan syarikat kenderaan ketiga negara yang telah diumumkan tahun lepas.

"Ia umpama mencuba menghasilkan kuih keria untuk pasaran yang sudah lama dipegang oleh Dunkin Donuts, Big Apple dan ramai lagi. Melainkan kita mempunyai teknologi yang tidak diketahui oleh manusia, perancangan itu hanya membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit."

"Usahasama yang telah ada sudah cukup baik. Yang terbukti tidak berkesan ialah cara negara menguruskan semua ini," sambungnya lagi.

"Buat masa sekarang, hanya Perodua sahaja yang sudah membuktikan wujudnya kolaborasi antara tenaga tempatan dengan syarikat kenderaan yang besar. Mungkin di masa akan datang, syarikat-syarikat tempatan yang lain boleh bangkit dan menonjolkan diri agar mampu mengambil peluang di atas pengembangan ekonomi negara-negara Asean yang lain," hujahnya sebelum beredar.

Perodua tidak pernah mengumumkan perkembangan teknologi mereka, namun begitu kereta X-Concept yang dipertontonkan kepada orang ramai tahun lalu menjadi petunjuk terbesar buat masa ini tentang halatuju syarikat tersebut.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut beliau lagi, penjualan SUV X70 dan model-model Iriz dan Persona versi terkini menjadi teras…
Berita Domestik
Menurut Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, jumlah…
Berita Domestik
MBM Resources Berhad baru-baru ini mengumumkan pelantikan dua orang anggota baharu di dalam barisan…