Perodua daftar 82,700 unit kenderaan Jan-Apr, Myvi masih lagi model terlaris

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Momentum jualan Perodua untuk empat bulan pertama 2019 kekal kukuh dengan peningkatan 9.5% kepada 82,700 unit dari Januari hingga akhir April 2019, berbanding dengan 75,500 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2018, didorong permintaan yang berterusan untuk semua modelnya.

Ini merupakan pencapaian jualan terbaik bagi empat bulan pertama dalam sejarah Perodua.

“Angka jualan dalaman kami menunjukkan sokongan padu yang berterusan terhadap produk kami. Kami, bersama-sama dengan ekosistem automotif negara, yang kebanyakannya terdiri daripada pembekal dan pengedar sah, amat berterima kasih atas pengiktirafan ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43% bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekaligus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan.
 


“Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen kami untuk membeli RM5.4 bilion dalam komponen pada tahun ini,” tambah Dato’ Zainal.

Beliau berkata Perodua akan terus berusaha untuk memenuhi komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun yang akan datang, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

“Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran selepas 2019, kami yakin bahawa Perodua akan terus berkembang pada tahun 2020 dan seterusnya memberi manfaat kepada pembekal dan pengedar tempatan,” kata Dato’ Zainal.

Model Perodua, yang kesemuanya mempunyai lebih dari 90% kandungan tempatan, menyaksikan angka pendaftaran yang tinggi pada bulan April dengan jualan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza.

“Bagi Aruz pula, kami gembira untuk mengumumkan bahawa pada bulan April, kami telah mendaftarkan lebih 3,200 unit, iaitu angka pendaftaran bulanan yang paling tinggi untuk SUV tujuh tempat duduk tersebut. Pencapaian ini signifikan bagi kami kerana Aruz mewakili usaha transformasi terbaharu kami untuk menjadi jenama serantau,” kata Dato’ Zainal.

 


Jumlah jualan Perodua pada April 2019 melebihi 22,100 unit – peningkatan hampir 11% berbanding dengan 19,939 unit pada April 2018, menjadikannya April terbaik dalam sejarah Perodua dari segi jualan.

Dato’ Zainal menambah bahawa permintaan untuk SUV tujuh tempat duduk baharu, Perodua Aruz, telah melebihi jangkaan dan pengeluaran telah dipercepatkan untuk memenuhi permintaan tersebut serta mengurangkan tempoh menunggu.

“Sejak Aruz dibuka untuk tempahan pada 3hb Januari lalu, hampir 20,000 tempahan telah diterima, iaitu dengan purata 170 tempahan setiap hari. Dan setakat hari ini, lebih daripada 9,800 Aruz telah diserahkan sejak pendaftaran bermula pada 31hb Januari - purata lebih daripada 100 unit setiap hari – menjadikan ia antara SUV paling laris di negara ini.

“Myvi kekal menjadi model terlaris kami – sejak pelancarannya pada November 2017, kami telah menyerahkan lebih daripada 115,000 unit kepada pelanggan kami, yang menggemari rekabentuk yang bergaya, kualiti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta ciri-ciri canggih yang diperolehi untuk harga tersebut,” kata Dato’ Zainal.

 


“Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada yang beragama Islam dan kami akan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan kami dapat menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan pada bulan ini kepada pelanggan yang dihargai.

“Kami amat menghargai kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kami selama 26 tahun ini, dan kami akan terus berusaha menerusi produk dan perkhidmatan kami untuk memenuhi seberapa banyak kehendak dan keperluan permotoran anda,” ujarnya.

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua telah membangunkan sebuah prototaip berkuasa elektrik hasil kerjasama…