Berbanding jumlah 146,951 unit yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun lalu, pendaftaran Perodua melonjak 51.2 peratus untuk tahun ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, "kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun.
Sepanjang bulan Oktober 2022, Perodua telah menjual sebanyak 25,849 unit, atau peningkatan 5 peratus berbanding bulan lalu.
Bezza merupakan model yang paling laris untuk bulan lalu, sebanyak 6,768 unit, diikuti Myvi (6,130 unit) dan Axia (4,989 unit).

Dari segi pengeluaran, Perodua telah mengeluarkan 22,974 unit pada Oktober menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan adalah sebanyak 229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini.
“Kami merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan jumlah jualan kami kerana kami cuba melepasi sasaran jualan yang ditetapkan sebelum ini bagi tahun 2022 dan ini akan dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.
Beliau menambah bahawa prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan telah memberi kesan positif kepada ekosistem automotif tempatan, memandangkan secara purata 95% alat ganti Perodua adalah diperoleh secara tempatan.
“Malah, kadar penyetempatan yang tinggi juga telah membantu melindungi Perodua daripada turun naik pasaran pertukaran matawang asing pada masa ini. Hasrat kami adalah untuk menambah baik lagi rantaian bekalan automotif tempatan kerana dengan adanya industri ini, ia memberi banyak manfaat kepada Perodua dan para pengguna,” kata Dato’ Sri Zainal.
Pada Januari tahun ini, pembuat kereta kompak nasional itu telah mengumumkan sasaran pendaftaran sebanyak 247,800 unit untuk 2022.