Perodua buka tempahan Axia 2023 - 4 varian, Enjin 1.0L NA, D-CVT, anggaran harga dari RM38.6 K

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Model mampu milik yang ditunggu-tunggu, Axia serba baharu kini telah dibuka untuk tempahan, pagi tadi dalam hantaran oleh Perodua di Facebook mengatakan bahawa Axia 2023 atau dikenali sebagai Axia D74A kini boleh mula ditempah oleh pelanggan.

Perodua turut mendedahkan beberapa perincian penting berkenaan Axia D74A tersebut di laman sesawang rasmi mereka, tentu sekali yang paling penting, seperti pada kod namanya Axia baharu itu akan menggunakan platform DNGA.

Ya, anda boleh lupakan ura-ura mengenai penggunaan enjin turbo. Axia D74A akan dikuasakan oleh enjin EEV 1.0 liter NA serba baharu yang akan dipadankan bersama transmisi D-CVT untuk semua varian.

Jika dilihat di atas kertas, enjin 1KR-VE 1.0L tiga silinder VVT-i itu menghasilkan 67 HP dan 91 Nm, Perodua turut menyatakan enjin yang dipadankan dengan transmisi D-CVT itu memberikan 25.3 km/l atau 27.4 km/l  bersama Eco Idle untuk penggunaan bahan api.

 

3

 

Tiada lagi varian E bersama transmisi manual, Axia D74A ditawarkan sebanyak 4 varian sahaja iaitu varian G, X, SE dan AV, semua varian akan menerima enjin 1.0 NA dipadankan dengan transmisi D-CVT.

Sama seperti Ativa, 2 varian teratas iaitu SE dan AV akan menerima mod Eco Idle dan Power, serta cermin sisi dengan fungsi auto lipat.

Manakala ciri lampu hadapan LED dan sistem buka tanpa kunci pula akan tersedia bermula dari varian X, dan LED DRL pula hanya untuk varian SE dan AV.

Antara ciri utama lain yang ditawarkan pada Axia D74A ialah paparan panel meter TFT 7.0 inci dan skrin infotainment 9.0 inci khusus untuk varian AV.

 

4

 

Tempat duduk pula terbahagi kepada 2 jenis, untuk varian G dan X, ia didatangkan dengan tempat duduk standard dibaluti bahan fabrik.

Untuk varian SE, ia didatangkan dengan tempat duduk "semi-bucket" dihadapan yang turut dibaluti bahan fabrik, manakala varian AV akan menerima tempat duduk dibaluti bahan separuh-kulit dwi-tona.

Dari segi ciri keselamatan, nampaknya Axia D74A akan menerima naik taraf lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya, untuk varian AV, ia didatangkan dengan 6 beg udara

Bagi ciri-ciri bantuan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA), setakat ini Perodua tidak mendedahkan varian yang akan menerima ciri keselamatan seperti EBD dan TRC, namun Vehicle Stability Control (VSC) akan didatangkan standard untuk semua varian.

 

5

 

Axia D74A akan ditawarkan dengan 5 warna iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baharu Coral Blue.

Harga bagi Axia serba baharu itu dijangka bermula dari RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk varian X, RM44,000 untuk varian SE dan RM49,500 untuk varian AV.

Sebagai perbandingan, harga untuk Axia 2019 ditawarkan bermula dari RM33,490 untuk varian G, RM34,990 untuk varian GXtra, RM38,890 untuk varian SE dan RM43,190 untuk varian AV.

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, "Perodua Axia serba baharu itu merupakan model terkini di bawah Perodua Smart Building (PSD), dimana ianya sebahagian dari rantaian komponen dan produksi global."

"Hasilnya menawarkan model dengan pelbagai pilihan untuk pembeli kereta mampu milik, dan kami percaya bahawa Axia baharu ini akan menawarkan nilai terbaik dalam segmennya."

Bagi mereka yang berminat, anda boleh layari laman sesawang Perodua untuk sebarang maklumat lanjut atau membuat tempahan Axia serba baharu tersebut.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut beliau, pada awalnya berlaku kemalangan membabitkan Perodua Axia dipandu lelaki tempatan…
Berita Domestik
Beberapa tempoh lalu, Perodua Myvi telah jatuh ketangga kedua apabila Perodua Bezza merampas…
Berita Domestik
Sedan Perodua Bezza masih lagi merupakan model terlaris di mana sebanyak 40,555 unit telah terjual…