Perodua Axia Style mendarat di Sri Lanka - bermula dari RM89k

oleh Mohamad Hanif|
Perodua Axia STYLE telah membuat penampilan pertamanya di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall dari 8hb-10hb November.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pengedar tempatan Perodua, Unimo Enterprises, sedang menerima tempahan untuk Perodua Axia STYLE di pameran terbabit. Penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.

Varian Perodua Axia 2019 yang berunsurkan crossover itu ditawarkan dengan harga Rs 3.895 juta (RM89,000*) di negara kepulauan tersebut.

“Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015. Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Dilengkapkan dengan bumper yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci, Perodua Axia STYLE baharu mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu,” tambahnya.

Lebih 2,000 Perodua Axia STYLE telah menemui pemiliknya di Malaysia sejak pelancarannya pada September lalu, manakala Perodua Axia 2019 secara keseluruhan telah mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.
 


“Permintaan untuk SUV dan crossover sedang menyaksikan peningkatan di pasaran antarabangsa dan kami menjangkakan trend yang sama bagi Sri Lanka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises En Mahesh Gunathilake.

“Perodua Axia STYLE baharu ini menawarkan penampilan crossover yang aktif dan bergaya dalam satu pakej yang kompak, cekap bahan api, boleh dipercayai dan memberikan nilai yang baik. Kami percaya rakyat Sri Lanka akan menyukai kenderaan ini,” ujarnya.

Unimo Enterprises telah menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997. Barisan model mereka kini terdiri daripada Axia dan Bezza. Perodua Bezza merupakan sedan bawah-1.0 liter baharu yang terlaris di Sri Lanka.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 – peningkatan 50% daripada 2,184 unit tahun lepas. Lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia setakat ini.
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut satu laporan daripada rakan media Funtasticko, terdapat satu varian baharu yang bakal…