Perodua Alza 1.5 AV 2018 - apa yang barunya?

oleh Mohamad Hanif|
Jika diimbas kembali sejarah pengenalan Perodua Alza kira-kira sembilan tahun yang lalu, ia dibangunkan berasaskan platform daripada Daihatsu Boon Luminas, platform sama yang menghasilkan Daihatsu Boon atau Perodua Myvi generasi pertama.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tatkala hayat Daihatsu Boon Luminas di Jepun hanyalah sekitar empat tahun sahaja, Perodua 'memanjangkan' hayat Alza sehingga sembilan tahun di pasaran disebabkan masih lagi terdapat permintaan di kalangan rakyat Malaysia. 

Sekiranya anda seorang pengguna aplikasi Grab atau Mycar (sekadar menyebut beberapa jenama), anda akan melihat beberapa pemandu aplikasi tersebut menggunakan Perodua Alza sebagai sebuah kenderaan 'tetap' (default) untuk membawa penumpang dan barangan dari titik A ke titik B. 
 

perbezaan antara model lama dan 'baharu'


Jadi, selagi ia tidak mendatangkan masalah, mengapa Perodua harus menghentikan jualannya, bukan?

Pada tahun 2018, Perodua mendatangkan sedikit pembaharuan kepada MPV kesayangan rakyat Malaysia ini dengan beberapa ciri menarik untuk menjadikan Alza ini masih malar segar untuk beberapa tahun akan datang. 
 


Antara pembaharuan pada bahagian luaran yang boleh dikesan seperti:

  • bumper hadapan ala-ala saudara jauhnya Sienta, dengan elemen hiasan gentian karbon palsu
  • posisi lampu kabus ditinggikan sedikit
  • gril hadapan krom yang diperbaharui (Perodua Wing?)
  • kemasan hitam pada garnish pintu belakang
  • jalur krom belakang di kiri dan kanan logo Perodua
  • bumper belakang rekaan baharu dengan diffuser

 

Manakala pada bahagian dalaman pula terdapat ciri seperti:

  • corong pendingin hawa hadapan terus untuk menyalurkan aliran udara ke barisan kedua (masih tiada corong khusus untuk baris kedua)
  • kerusi balutan kulit baharu, elemen ala gentian karbon
  • sistem hiburan skrin sentuh baharu dengan bantuan navigasi pemetaan, sambungan SmartLink
  • panel meter dengan grafik baharu

Sekali imbas, perubahan rupa Alza tersebut sebenarnya berjaya mengelirukan beberapa pengguna yang menyangka ia adalah model baharu daripada Perodua. 

Malah, ada yang ingat Perodua sebenarnya membangunkan Alza baharu ini daripada Perodua Myvi baharu!
 


Sayang sekali, sangkaan anda tidak tepat, kerana secara teknikalnya, Alza masih lagi sebuah Alza, hanya rupa sahaja yang diperbaharui. 

Dari segi pengendalian, memandangkan ia sebuah MPV daripada platform yang sudah berusia sembilan tahun, aspek ini tidaklah sehebat beberapa pesaing di dalam kelasnya oleh kerana ia masih menggunakan sistem hidraulik berbanding sistem stereng kuasa elektrik (EPS) yang kini menjadi kebiasaan dan kelaziman industri. 

Secara jujurnya, Alza amat mudah untuk dikendalikan terutama di kawasan bandar dan sekali sekala dilenjan untuk perjalanan jauh.

Namun, penggunaan stereng kuasa hidraulik itu sedikit memenatkan tangan, ditambah pula dengan kalibrasi brek yang agak kosong bila dipijak atau 'spongy' terutama ketika menghadapi situasi yang mencemaskan.

 


Oleh sebab itu, penulis mengambil langkah mudah untuk memandu Alza ini secara santai sahaja kerana tiada apa yang hendak dikejar pun. 

Perlu diingatkan kepada para pengguna di luar sana MPV ini bukanlah sebuah model prestasi yang direka untuk berlumba di susur kanan lebuhraya sebagaimana adik beradiknya yang lain.

Tindak balas pada pedal pendikit (throttle) juga dirasakan telah ditambah baik bagi membantu pergerakan mula ketika berada dalam keadaan trafik bandar, dibantu dengan kelancaran penukaran gear empat nisbah automatik tersebut. 

Bagi penulis, "just nice!"
 


Antara perkara yang sempat juga penulis uji ialah sistem hiburan yang didatangkan pada Alza 1.5 AV ini serta ciri navigasi pemetaan yang terbina dalam. 

Dari sudut hiburan, tiada sebarang komen negatif dapat diberikan oleh kerana ia menjalankan tugas dengan baik mengalunkan irama nasyid ketuhanan untuk mengelakkan para penumpang daripada kesunyian ketika di dalam perjalanan. 

Sistem navigasi pemetaan pula didatangkan dalam bentuk paparan dua dimensi dan, hmmm itu sahaja. 

Umpama bermain permainan Snake dalam Nokia 3310 skrin berwarna dalam.
 


Bagi penulis yang sukakan perkembangan teknologi semasa, paparan tersebut tidaklah begitu memberikan impresi yang mendalam, apatah lagi pada zaman 2018 ini kebanyakan aplikasi pemetaan sudah hadir dengan ciri yang lebih informatif dan paparan grafik yang lebih lancar. 

Namun, pujian harus diberikan kepada Perodua kerana ciri ini tidak memerlukan sambungan kepada internet, malah pemandu boleh terus memasukkan input lokasi yang diperlukan dan sistem navigasi ini akan memaparkan beberapa cadangan berdasarkan input tadi.
 


Berdasarkan sesi pandu uji ringkas bersama Perodua Alza 1.5 AV baharu ini, boleh disimpulkan bahawa pemanduan, pengendalian, dan tahap keselesaan sebuah Alza masih sama, dan ia masih sebuah MPV yang direka untuk membawa ahli keluarga (dan penumpang aplikasi e-hailing) tanpa sebarang masalah. 

Harus diingat, Alza merupakan sebuah casis yang agak berusia dan untuk itu, Perodua tidak mendatangkan beberapa perubahan yang lebih besar dan lebih canggih untuk dimuatkan ke dalam Alza 2018 ini. 

Ini menjawab kepada persoalan kenapa Alza ini masih lagi tiada ciri kawalan kestabilan elektronik (ESC), tambahan beg udara, slot USB untuk para penumpang, serta beberapa kelengkapan bantuan pemanduan yang hadir pada Myvi baharu. 
 


Namun, Perodua sedar akan kekurangan tersebut dan melebihkannya pada ciri-ciri yang lebih terkini dan praktikal seperti sensor sudut hadapan, corong pendingin hawa terus untuk penumpang baris belakang, serta sistem multimedia dengan skrin tambahan dipasang pada bumbung. 

Berbalik kepada persoalan utama, adakah Alza masih lagi relevan? 
 


Ya, bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan dari titik A ke titik B tanpa perlu risau akan kos tambahan yang memeningkan, apatah lagi enjin 1.5 liter 3SZ-VE yang mampu menjana 104 PS/136 Nm dengan transmisi automatik empat kelajuan sudah cukup menjimatkan untuk memenuhi keperluan seharian sesebuah keluarga. 

Harga jualan untuk varian Advanced ini bermula dari RM62,690 (tidak termasuk aksesori GearUp), didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 km yang mana terdahulu. 

 

Spesifikasi ringkas Perodua Alza 1.5 AV


Enjin: 1.5 liter 3SZ-VE empat silinder sebaris, aspirasi natural
Sesaran: 1,495 cc
Kuasa: 104 PS/136 Nm
Transmisi: Automatik empat nisbah kelajuan, 
Sistem pacuan: roda hadapan
Kapasiti tangki: 42 liter
Rim/tayar: aloi dengan kemasan titanium 15 inci, 185/55 R15
Ciri keselamatan: dua beg udara SRS, ABS, EBD, Brake Assist, cagak ISOFIX, sensor sudut hadapan, sensor undur, kamera undur, amaran peringatan tali pinggang keledar
Penarafan ASEAN NCAP: 4 bintang

Harga atas jalan: RM62,690
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala…
Berita Domestik
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia 23…
Berita Domestik
Namun, sebuah model yang langsung tidak tersenarai, iaitu Hyundai Stargazer nampaknya telah pun…