Mengikut perancangan, Toyota hanya mahu menawarkan model edisi terhad itu untuk tahun pertama jualan sahaja, di mana 1,500 unit sahaja yang akan dihasilkan.
Namun, melihatkan kepada permintaan yang tinggi di kalangan para peminatnya, Toyota membuat keputusan untuk terus memproduksikan model hot hatch Circuit Edition itu sehingga tahun 2024.

Dengan langkah terbaharu ini, secara tidak langsung angka produksi GR Coroll akan meningkat, namun Toyota tidak mendedahkan secara terperinci jumlah sebenar GR Corolla yang akan dihasilkan.
Walaupun GR Corolla tidak dihasilkan dalam angka terhad seperti GR Yaris, Toyota tetap mahu menjaga tahap eksklusiviti model tersebut.
Berbanding versi standard, GR Corolla Circuit Edition didatangkan dengan kelengkapan tambahan seperti bumbung gentian karbon, tempat duduk suede, hud enjin berliang, LSD, trim luaran hitam serta pemasangan spoiler besar di belakang.

Selain daripada itu, ia juga turut dilengkapi dengan pembeza gelincir terhad Torsen pada kedua-dua gandar depan dan belakang.
Secara standard, GR Corolla dikuasakan enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS dengan hamburan 300 hp dan 370 Nm, di mana pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 5.0 saat.
Menurut naib presiden komunikasi dan pemasaran Toyota, Michael Tripp berkata, "Apabila peminat Toyota GR berkata-kata, kami mendengar, dan perancangan kami adalah untuk meningkatkan jumlah produksi GR Corolla dan terus menawarkan varian Circuit Edition sebagai sebahagian daripada barisan GR Corolla untuk tahun 2024.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia akan terus dihasilkan selepas tahun 2024.