Sayang sekali, dengan permintaan terhadap sedan segmen D itu tidak begitu memberangsangkan di tanah air sendiri, keadaan ini memaksa Toyota untuk menghentikan penjualan dan produksi Toyota Camry selepas tempoh 43 tahun, menurut laporan Nikkei Asia.
Ini kerana di Jepun sendiri rata-rata pelanggan Toyota lebih menggemari bentuk badan SUV dan crossover berbanding bentuk badan sedan.

Ini menjadikan Camry sebagai model sedan terbaharu yang dihentikan penjualannya di Jepun selepas Honda Legend dan Nissan Fuga disebabkan prestasi jualan yang merudum.
Namun begitu, Toyota akan terus menjual model Camry di lebih 100 buah negara di mana permintaan terhadap sedan itu masih lagi tinggi.
Sejak dilancarkan pada tahun 1980, Toyota telah menghasilkan lebih daripada 21 juta unit Camry di seluruh dunia sehingga kini.

Pasaran Amerika Syarikat kekal menjadi lokasi utama yang menyumbang kepada jumlah jualan yang besar, dengan 13 juta unit Camry terjual sejak dari tahun 1982.
Toyota Camry kini sudah pun memasuki generasi kelapan yang telah muncul sejak dari tahun 2017, sementara Camry versi facelift telah pun muncul di pasaran Malaysia pada tahun 2022.
Sumber: Nikkei Asia