Perlukah Proton punyai muzium sendiri?

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru ini, arena permotoran negara dipenuhi dengan rungutan akibat Geely, pemilik mutlak Proton yang mahu melelong kenderaan konsep, prototaip dan juga jentera-jentera perlumbaan mereka.

Namun begitu, ada juga yang menyokong dan mereka juga mempunyai sebab musabab yang munasabah. Contohnya sahabat saya, Hans Cheong, ketua pengarang WapCar.my
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hans pernah bekerja dengan saya di Cars Bikes and Trucks, New Sunday Times dan beliau adalah seorang penulis yang rajin membuat kajian serta rumusan. 

Artikel beliau, seperti biasa, seimbang dengan pendapat beliau dan juga pendapat lain. Anda boleh baca sendiri artikel tersebut di pautan ini.

https://www.wapcar.my/news/proton-was-doing-the-right-thing-in-disposing-its-old-rally-and-concept-cars-here’s-why-4443

Hans, seperti saya tahu, tidak dibayar oleh Proton pun kerana gambarnya tidak terpampang dalam media sosial Proton. Sama dengan saya, tetapi anak Melayu yang ini istimewa sedikit - saya di "blacklist" kan oleh orang asing dalam syarikat kenderaan nasional negara.

Memang rasa terhina tapi orang Malaysia yang besar-besar pun buat tak tahu, kita yang "ayam-ayam" di bawah ini mana mampu hendak melawan. Jadi faham-fahamlah kenapa Malaysia masih lembab dalam kepentingan hak pengguna kerana orang atas penat hendak menjaga periuk nasi mereka sendiri.

Berbalik kepada isu Geely mahu melelong khazanah Proton, ini adalah pendapat saya.

 

 

1. Kenapa sampai jadi begini?

  • Ini bukan masalah Geely. Malah saya sudah berapa kali berkata, Geely diberikan satu syarikat yang penuh dengan masalah. 
  • Rakyat Malaysia cuma tahu yang baik-baik sahaja kerana kami pihak media tidak mendedahkan sangat masalah dalaman Kementerian Membuat Kenderaan itu (ada sebab saya panggil ia "kementerian"). Saya acapkali memperli tetapi orang buat tak tahu sahaja.
  • Proton sejak hari pertama tidak mempunyai sistem arkib yang baik. Malah, gambar-gambar pelancaran model Saga pertama itu pun Proton terpaksa meminta ehsan New Straits Times yang menyimpan gambar-gambar dan berita-berita sejarah syarikat itu.
  • Ini saya pelajari ketika terbabit dengan pembuatan majalah dalaman Proton dahulu.
  • Malah, saya sendiri terpaksa mengambil gambar-gambar PRoton Wira SE, Proton Saga LMSS, Proton Satria R3 dan beberapa lagi model Proton semasa itu.
  • Kenderaan-kenderaan perlumbaan Proton pula ada disimpan di bahagian Motorsports, dan kesempitan ruang menyebabkan ia kurang dijaga dengan sempurna.
  • Ruang memerlukan duit, dan duit ialah satu aset yang semakin lama semakin berkurangan di Proton ketika itu.
  • Dalam erti kata lain, masalah penyimpanan khazanah-khazanah berharga Proton ini sudah bermula dari awal lagi.
  • Saya tak yakin Proton mempunyai unit-unit Juara, Tiara dan Arena yang boleh disimpan untuk muzium. 

 

 

2. Kenderaan prototaip

  • Kenderaan prototaip sebenarnya jarang disimpan oleh mana-mana syarikat kenderaan, kecuali model-model utama sahaja.
  • Ini ialah kerana kenderaan prototaip bukannya dibina untuk tahan selamanya dan ia tidak mempunyai alatganti.
  • Seringkali, kenderaan prototaip dimusnahkan sahaja supaya ia tidak jatuh ke tangan orang lain atau syarikat lain.
  • Kenderaan prototaip juga tidak begitu selamat untuk digunakan kerana ia lebih untuk kajian. 
  • Ia juga digunakan dalam ujian perlanggaran, dan kerana itu ia memang jarang disimpan.
  • Bagi kenderaan-kenderaan EV pula, bateri dan sistemnya tidak diuji untuk kegunaan awam. Oleh kerana itu, ia sememangnya tidak patut dijual kepada orang awam kecuali kepada institusi pendidikan, sekiranya alatan dan komponen EV itu masih lagi relevan dan dalam keadaan baik.
  • Saya lihat ramai yang masih beranggapan kenderaan ini boleh didaftarkan digunakan di atas jalanraya. Jawapannya tidak, tetapi komponennya boleh digunakan untuk modifikasi kenderaan perlumbaan.

 

 

3. Kenderaan konsep

  • Kenderaan konsep boleh disimpan, kerana ia menjadi bahan rujukan dan juga bahan sejarah sebuah syarikat.
  • Kenderaan konsep juga mempunyai harga yang sangat mahal - jutaan ringgit.
  • Memusnahkannya adalah satu kerugian.
  • Proton Emas yang kita lihat, memang dalam keadaan yang menyayat hati walhal negara membayar ratusan juta ringgit untuk membeli rekabentuk Giugiaro yang akhirnya tidak begitu digunakan.
  • Yang untung, cuma orang tengah. Seperti biasa, kerana itu orang lain memanggil kita orang Melayu ini "rent seekers" - suka jadi orang tengah.
  • Baik dari pemimpin tertinggi, sampai ke machainya - sama sahaja pe'elnya. Tapi bila depan media - dialah pejuang rakyat. 
  • Untuk menyimpan kenderaan-kenderaan konsep itu akan menelan belanja jutaan ringgit kerana alatganti dan komponennya bukan boleh dibeli dari Shoppee atau reseller dalam grup Whatsapp anda.
  • Ia perlu dibuat balik, menggunakan 3D printer atau ara-cara lain. Mahal, tetapi kenderaan konsep yang sering membangkit semangat kepada peminat!

 

 

4. Muzium?

  • Perodua tidak mempunyai muzium tetapi ia mempunyai galeri kecil di ibu pejabatnya di Rawang.
  • Ia juga mempamerkan kenderaan-kenderaan konsep yang terkini di lobi pejabat itu.
  • Model Kancil yang disimpan juga adalah unit dari Perodua sendiri dan tidak pernah didaftarkan tetapi Kelisa, Kenari, Rusa dan Kembara tidak ada di ruang itu.
  • Modenas masih menyimpan banyak model-model keluaran mereka walaupun ia tidak mempunyai bangunan khusus untuk dijadikan muzium. Dari Kriss hingga ke Jaguh, ia masih dalam keadaan yang baik dan boleh dihidupkan.
  • Syabas kepada Modenas. Kami sendiri sudah membuat video mempamerkan motosikal-motosikal Modenas yang dijaga itu.
  • Tapi jika kita keluar negara, muzium-muzium syarikat kenderaan memang besar-besar dan modern. Ia menjadi ikon kepada bandar-bandar di mana muzium itu berada.
  • Renault pula mempunyai "perpustakaan" besar di mana hampir kesemua kenderaan mereka disimpan di dalam rak-rak besar dan boleh diakses menggunakan sistem komputer. 
  • Muzium Harley-Davidson juga adalah antara muzium motosikal yang paling menarik saya pernah lawati. Kesemua model bersejarahnya ada di sana, dan jika tidak ada, ia akan cuba membeli unit itu dari pengumpul Harley.
  • Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen, Toyota, Honda, Kawasaki, Citroen, Volvo dan banyak lagi syarikat memang mempunyai muzium yang lengkap dan boleh dilawati oleh orang ramai.
  • Malah, Geely sendiri mempunyai sebuah muzium yang cantik dan saya pernah melawatnya. Cuma jika Proton mempunyai muzium, kandungannya pasti akan mengalahkan Geely!

 

 

Kesimpulannya?

  • Pembinaan muzium ialah satu perkara yang tidak begitu penting dari segi sosio ekonomi, kecuali dalam sektor pelancongan.
  • Dengan nama Proton yang cuma megah di dalam negara sahaja, tidak ramai pelancong asing yang mungkin berminat untuk mengetahuinya.
  • Orang Malaysia sendiri tidak ramai yang begitu berminat dengan muzium, walaupun kita ada muzium-muzium yang menarik seperti muzium Polis DiRaja Malaysia, muzium Balai Polis Bukit Kepong, muzium tentera di Port Dickson dan muzium tentera udara (sekarang nampaknya muzium itu tersadai kerana dengarnya, bajet untuk bangunan baharu "hilang").
  • Kita orang Melayu memang suka akan bahan sejarah, kerana kita suka mengimbau sejarah silam. Sama seperti orang barat - mereka menghargai sejarah lama dan memastikan bangunan-bangunan lama disimpan dan dijaga.
  • Berapa banyak banngunan ikonik negara telah dimusnahkan? 
  • Balai Berita pun, tempat bersejarah untuk orang media, bakal terkubur kalau tak kena gayanya kerana keperluan "korporat".
  • Adakah Geely patut membina muzium Proton? Dari segi perniagaan, itu kerja yang merugikan, kecuali pihak kerajaan mahukan ia berlaku. 
  • Cuma kelakar juga ya, semua benda kita kena minta bantuan orang luar kan? Tapi seperti biasa, campakkan mikrofon, tiga jam dia bercerita pasal "kejayaan" dan "perancangan" negara. 

Ya, menyimpan khazanah lama akan memakan kos yang sangat tinggi tetapi ia adalah pelaburan untuk generasi kita yang akan datang agar mereka dapat melihat sendiri dan merasa bangga dengan negara kita, bukan melihat kebangkitan syarikat nasional kerana bantuan orang luar.

Tak kan kita nak harapkan orang asing pula untuk mendidik dan menentukan pemikiran anak-anak kita? Fikirkan apa yang hendak dijawab bila kita  disoal apa yang telah dibuat dengan kuasa kita di dunia ini.

Garang saya bertempat, kerana jika tiada yang garang, semakin mudah kita dipijak. Bekerjasama itu bagus, "but not at the expense of us becoming mere workers". 

Wallahuallam.

* Gambar utama dari Wapcar

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dua gandar hadapan masih menggunakan roda-roda bersaiz 14 inci dengan tayar "off-road" dan…
Berita Global
  Terletak di Asturias, utara Sepanyol, Muzium Fernando Alonso itu sedang dalam proses membesarkan…
Berita Global
Menurut Toyota, syarikat hartanah yang memiliki kawasan Pallete Town mahu membangunkan semula…