Perlukah Geely cari calon luar ketuai Proton?

oleh HEZERI SAMSURI|

Zhejiang Geely Holding atau geely dikatakan sedang mencari calon untuk menjadi Pengerusi bagi Proton Holdings.

Laporan Berita Harian tersebut memetik laman web automotif China, Gasgoo yang menemuramah Naib Preside Geely, Yang Xueliang.

Menurut Yang, Geely sedang mencari calon yang sesuai di seluruh dunia untuk menjadi Pengerusi Proton dan Li Chun Rong seperti berminat.

 

lichunrong

 

Li Chunrong (atas) ialah seorang veteran di dalam industri automotif negara tersebut dan beliau sekarang ini ialah Pengarah dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Dongfen Honda Engine Company.

Menurut Berita Harian, Geely mempunyai hak untuk menentukan dua jawatan utama dalam Proton berdasarkan perjanjian yang dimetrainya antara DRB-Hicom dan Geely.

Calon tersebut tidak semestinya dari orang asing kerana Geely boleh memilih untuk mengekalkan kepimpinan yang ada.

"Sudah tentu Geely akan melantik individu yang dapat menjayakan pelan transformasi Proton kerana ekosistemitu memerlukan individu yang memiliki keupayaan dan kepakaran dalam bidang automotif," jelas seorang penganalisa industri yang ditemuramah oleh Berita Harian.

Penganalisa itu seterusnya memberi contoh bagaimana Khazanah Nasional Berhad melantik Christpher Mueller untuk mengetuai Malaysia Airlines dan bagaimana Mueller berjaya melancarkan pelaksanaan pelan pmulihan syarikat penerbangan tersebut.

"Yang kita mahukan adalah jenama Proton itu sendiri perlu dinaikan kembali, tidak kisah siapa yang menjadi ketuanya," kata penganalisa tersebut.

Pada pendapat Careta, ekosistem automotif negara jauh berbeza dari industri penerbangan.

Perkembangan vendor-vendor tempatan berkualiti, penggunaan insentif-insentif dari kerajaan yang mengurangkan cukai serta pasaran domestik yang kecil perlu diambil kira.

 

holden factory
Holden dan Ford telah lama menutup kilang-kilang mereka dan beribu-ribu pekerja tempatan kehilangan punca pendapatan. Ford masih mempunyai perkhidmatan R&D di Australia tetapi jumlah pekerja jauh berkurangan.

 

"Jika Geely hendak meraih keuntungan mudah, guna sahaja komponen yang diimport sepenuhnya dari luar kerana ia lebih murah dan menguntungkan. Tetapi lambat laun, Malaysia akan menjadi seperti Australia di mana industri automotifnya terus mati kerana kesemua kenderaan diimport dari luar," terang seorang pakar industri yang ditemuramah oleh Careta pula.

"Industri automotif membawa masuk perniagaan bernilai tinggi dan melatih pekerja-pekerja mahir tempatan untuk lebih berdaya saing. Itu adalah agenda yang baik yang perlu kita perjuangkan. Jangan terlalu hendak yang murah, pekerjaan untuk anak-anak kita nanti tergadai," sambungnya.

Ada ramai vendor-vendor tempatan yang berjaya membekalkan komponen kepada syarikat kenderaan jenama asing. Pihak kerajaan, melalui Malaysia Autmotive Institute (MAI) iaitu sebuah agensi di bawah MITI bercadang mahu menaik-taraf ramai lagi vendor-vendor yang layak agar Malaysia menjadi pusat penyelidikan dan sumber komponen kenderaan berteknologi tinggi seperti hibrid dan kenderaan elektrik.

Malah MAI sudah memulakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf vendor tempatan melalui program-program latihan dan sesi-sesi soal-jawab serta kursus untuk memastikan lebih ramai vendor berjaya terhasil. 

Antara contohnya ialah Lean Production System atau LPS di mana MAI bekerjasama dengan Perodua untuk membantu memberi latihan industri kepada vendor-vendor agar sistem produksi mereka menjadi lebih menguntungkan.

 

LPS org chart

Satu keseimbangan perlu dicapai agar Proton bukan sahaja mampu berjaya sebagai sebuah syarikat global, tetapi ia juga mampu menghidupkan ekosistem vendor yang berkualiti untuk menjamin lebih banyak perniagaan dibawa masuk ke dalam negara.

"Kerana itu, Proton perlukan kepimpinan yang faham apa agenda nasional dan dalam masa yang sama, menggunakan agenda itu untuk menurunkan kos pembuatan agar Proton lebih berdaya saing di pasaran luar," ujar penganalisa tersebut.