Perkhidmatan kargo ASEAN Express mula operasi Oktober ini

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pengeksport dan pengimport di rantau ini akan mempunyai satu lagi pilihan mod pengangkutan apabila perkhidmatan tren kargo ASEAN Express merentasi Malaysia, Thailand dan Laos memulakan perkhidmatan komersil pada Oktober ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Perkhidmatan ASEAN Express merupakan hasil kerjasama strategik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pengendali keretapi Thailand, State Railway of Thailand (SRT) dan Laos Railways yang akan memanfaatkan sektor logistik dan pengangkutan masing-masing.

“Pihak KTMB telah menerima tempahan awal untuk menggunakan perkhidmatan tren ASEAN Express ini bagi penghantaran kontena maritim dan perkhidmatan ini akan menjana pendapatan tambahan sebanyak RM9 juta setahun kepada KTMB,” kata KTMB dalam satu kenyataan.

KTMB berkata perkhidmatan tren kargo ASEAN Express dengan kos yang lebih kompetitif bakal menjadi pilihan utama pengimport barangan elektrik dan elektronik.

Perjalanan ASEAN Express sejauh 2,206km dari Malaysia ke Laos akan mengambil masa 72 jam.
 

KTMB


Pada Isnin, satu majlis flag off perkhidmatan percubaan (dry run flag off ceremony) ASEAN Express telah diadakan di Bang Sue Grand Station di Bangkok.

Upacara itu telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin dan Gabenor SRT Nirut Maneepan. Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

KTMB berkata kerjasama strategik perkhidmatan tren kargo merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia apabila syarikat keretapi negara Thailand dan Laos memberikan kerjasama penuh untuk menjayakan perkhidmatan ini.

ASEAN Express akan menawarkan kapasiti 80 Twenty Equivalent Units (TEUs) sehala seminggu. Dari Thanaleng di Laos, kargo yang dibawa akan berhubung dengan beberapa wilayah di selatan China seperti Kunming, Chengdu dan Chongqing melalui ibu negara Laos, Vientiane.

Sementara itu, SRT berkata perkhidmatan percubaan tren kargo dari Padang Besar di Malaysia ke Nong Khai (Thailand) dan Thanaleng (Laos) akan mempergiatkan perdagangan sempadan selain menghubungkan perkhidmatan rel ketiga-tiga negara.

Sumber: Bernama