Perhimpunan Skuter Klasik dan Moden SeMalaya

oleh DIANA ISMADI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada Ahad yang lalu, Komiti Pakatan Vespa Utara telah menganjurkan satu acara untuk mengumpul peminat skuter klasik dan moden, Kedah Vespa Lambretta Gathering 2017 (KVLG) di The Carnival Water Park, Sungai Petani.

Menurut penganjur, acara perhimpunan vespa terakhir yang diadakan adalah pada tahun 2001. Selepas 16 tahun, inilah acara pertama yang dianjurkan oleh Komiti Pakatan Vespa Utara dengan kerjasama Black River City dan Cinta Sayang Resort.

 

 

Lebih 5,000 peminat skuter klasik dan moden dari seluruh pelusuk negeri datang untuk memeriahan acara KVLG 2017. Jangan terkejut, ada juga yang datang menunggang vespa dari Itali, malangnya team Careta tak sempat berjumpa dengan beliau di atas masalah yang tak dapat dielakkan.

Antara model vespa yang kelihatan di KVLG adalah Scomadi, Super, Sprint, Jobot, PX 150, PS 150, Lambretta LD 150, Lambretta LI 1, GS, Rally, Primavera dan banyak lagi.

 

Menurut penyelaras Pakatan Vespa Utara, Mohammad Syukur Bin Rohan atau lebih mesra dengan panggilan Pakod menyatakan bahawa acara ini diadakan bertujuan untuk mengumpul para peminat  skuter moden dan klasik bagi berkongsi pendapat dan pengalaman mereka di dalam dunia berskuter.

“Kami di Pakatan Vespa Utara berjuang untuk memperkembangkan komuniti vespa demi mengeratkan perhubungan sesama pemilik, peminat dan pencinta tak kira vespa moden ataupun klasik” kata Pakod.

Ternyata KVLG bukan sahaja berjaya menarik minat pemilik skuter klasik dan moden dari Malaysia, malah ada juga datang jauh dari Thailand, Indonesia, Australia dan Amerika.

 

Team Careta sempat berjumpa dengan otai vespa Ed Wilkerson dari Las Vegas. Pengumpul vespa dari Amerika Syarikat ini menyertai KVLG semata-mata untuk memberi sokongan dan berkenalan dengan komuniti vespa di Malaysia.

Selain itu, kami juga berpeluang berjumpa dengan pengumpul tegar lambretta dan vespa, Lim Siok Seng dari Pulau Pinang. Uncle Lim kita ini ada lebih dari sepuluh vespa dan lambretta di rumah katanya. Kerana minat dan cinta yang mendalam terhadap motosikal klasik, Uncle Lim sanggup habiskan duit lebih dari RM50,000 untuk Lambretta LD 150 beliau yang cantik ini. Antara koleksi lain yang Uncle Lim miliki adalah, PX 200, PS 150, Super, VNB 125, Lambretta LI 21 dan beberapa lagi yang beliau tak mahu nyatakan. Takut kami minta nak beli ka Uncle?

 

 

Kebanyakkan kita menganggap hanya kaum lelaki sahaja yang minat dengan dunia permotoran, namun acara ini turut disertai oleh gadis-gadis yang menunggang Scomadi dan vespa moden.

“Saya suka sesuatu yang nampak klasik. Lagipun vespa ini boleh simpan topi keledar di bawah tempat duduk, dan dapat kenal ramai kawan baru yang sama-sama menuggang Vespa, sebab tu saya pilih vespa” kata Mabel Chuah.

“Kami semua berasal Pulau Pinang dan memandangkan acara ini diadakan dekat dengan kami di Sungai Petani, boleh la kami turun padang untuk memeriahkan lagi acara ini disamping dapat kenal kawan-kawan yang sama hobi” kata Nur Athira Mohamad Akhir.

 

Selain dari mengumpulkan peminat vespa klasik dan moden, acara ini turut dimeriahkan lagi dengan jualan alat ganti vespa, pakaian bundle dan barang-barang antik serta kehadiran peminat muzik “underground” dan Undernorth BMX.

Antara yang menarik perhatian adalah peniaga pakaian bundle, Nasir Tahir Mahrof atau Cikgu Nasir yang membawa koleksi pakaian “vintage” beliau dari Pendang. Menurut beliau, pakaian vintage yang dibawanya sangat digemari oleh pengumpul dan peminat barangan "rare" dari luar negara.

“Saya ada banyak barang-barang “rare” untuk dijual. Setakat ini, koleksi paling mahal yang saya simpan bernilai RM30,000 dan yang paling murah RM500” kata Cikgu Nasir.

 

Kami dari pihak Careta ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak kelab Pakatan Vespa Utara diatas usaha untuk merancakkan lagi dunia berskuter di negara ini. Semoga kelab ini akan terus menganjurkan acara-acara yang menarik seperti ini lagi di masa hadapan. Terima kasih juga kepada pihak Cinta Sayang Resort kerana memberi kami peluang untuk menginap di resort yang damai dan selesa.

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Menurut Mohammad Syukur Bin Rohani selaku pengurus program, objektif Penang Scooter Day 2019…
Gaya Hidup
  "Minat dengan vespa ini sejak dari sekolah lagi, saya dapatkan sebiji dari bapa dan saya mula…