Pereka BMW Z4 dan Mini kini ketuai bahagian rekabentuk Rolls-Royce

oleh HEZERI SAMSURI|
Nama Anders Warming mungkin tidak dikenali ramai tetapi hasil kerja beliau memang terkenal di seluruh dunia.

Anders ialah antara perekabentuk untuk projek BMW Z4 generasi pertama dan model-model Mini generasi baharu, termasuk model konsep Mini Next 100.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rakyat Denmark itu memulakan karier beliau dengan BMW Designworks di California pada penghujung tahun 90-an. Beliau kemudian meninggalkan BMW untuk menyertai Volkswagen, tetapi selepas beberapa tahun, kembali ke pangkuan BMW di bawah selian Chris Bangle.

Selepas hampir 20 tahun, Anders berpindah ke Borgward untuk beberapa tahun sebelum beliau membuka syarikat rekabentuknya sendiri, Warming Design dan akhirnya ditawarkan jawatan menjadi Pengarah Rekabentuk untuk Rolls-Royce.

 

 

Menurut CEO Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös, pelantikan Anders memang kena pada masanya kerana jenama legenda itu akan mula memasuki era produk-produk elektrik sepenuhnya (EV).

"Cabaran untuk Anders ialah memastikan prinsip rekabentuk Rolls-Royce yang digunakan oleh pengasasnya, Sir Henry Royce sejak lebih 100 tahun dahulu akan digunakan untuk produk-produk mendatang kami," ujarnya.

Rolls-Royce memang diketahui akan menghasilkan EV mereka yang pertama dan Anders memang calon yang terbaik.