Perdana untuk Menteri akan datang dari China?

oleh HEZERI SAMSURI|
Proton Perdana yang bakal digunakan untuk menteri-menteri dan juga untuk pegawai-pegawai jusa kemungkinan akan menggunakan model sedia ada dari Geely yang akan diimport masuk 100 peratus dari China.

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Proton tidak lagi mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan model Perdana sekarang kerana Honda tidak lagi membekalkan komponen-komponen tersebut.

Ini bercanggah dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berkata Proton secara tiba-tiba mempunyai stok Perdana yang mencukupi (laporan The Star).

"Jika ada pun, penyelenggaraan bahagian khusus untuk Perdana akan menyebabkan kos yang tinggi," ujar salah seorang dari sumber yang rapat dengan proses pajakan kenderaan kerajaan.

Model Perdana yang ada sekarang dibina berdasarkan model Honda Accord generasi kelapan. Namun begitu, Proton telah mengubah bentuk luarannya agar kelihatan tidak sama seperti Accord tersebut.

"Komponen alatganti seperti fender, lampu, bamper, pintu belakang adalah unik untuk Perdana itu dan oleh kerana jumlah pengeluaran yang terlalu sedikit, kos untuk menghasilkan alatganti itu sangat tinggi.

Ini bakal menjadi masalah di masa hadapan," ujar seorang lagi sumber Careta.

 

 

Desas-desus yang paling kuat kedengaran sekarang ialah Proton akan menggunakan model Geely Borui yang akan disadur dengan lencana jenama kebanggaan nasional itu.

Jika benar, Borui akan diimport masuk 100 peratus dari China kerana ia adalah proses yang lebih cepat, berbanding dengan proses pemasangan tempatan dengan komponen tempatan yang akan mengambil masa paling kurang 12 ke 18 bulan. 

Satu lagi komen penganalisa industri berkata penggunaan model Borui tidak mungkin akan berlaku dalam masa yang singkat kerana proses penukaran pemanduan kiri ke kanan (LHD ke RHD) juga akan mengambil masa yang panjang.

"Geely Boyue versi panduan kanan dihasilkan oleh Geely dalam tempoh yang singkat, tetapi itu hanya untuk tujuan demonstrasi. Bunyinya mudah, tetapi penukaran dari LHD ke RHD memerlukan kerja kejuruteraan yang tinggi dan kosnya juga tinggi," tambah penganalisa tersebut.

Geely Borui dilancarkan dalam tahun 2015 dan menggunakan platform yang turut dibangunkan bersama oleh Volvo.

Model konsep Geely Preface turut dikatakan akan menjadi pengganti Borui bila ia dilancarkan kelak.

Apapun, penggunaan model Geely adalah lebih baik dari menggunakan kenderaan premium Eropah terpakai yang dibawa masuk. Ura-ura penggunaan kenderaan "reconditioned" untuk kereta menteri turut tersebar beberapa hari lalu di kalangan industri.

"Tidak mungkin menteri-menteri mahu mempromosikan kenderaan "recond" kerana ia umpama menyembur racun kepada industri automotif tempatan dan memalukan jika menteri menggunaakan kenderaan terpakai," bahas seorang lagi sumber Careta.

 


* Gambar konsep Perdana ehsan dari Theophilus Chin

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Informasi
  Beliau berkata, dasar itu juga menyasarkan peningkatan TIV kepada 1.22 juta unit dan eksport…
Berita Domestik
Untuk menguruskan fleet kenderaan kerajaan pada masa hadapan, kerajaan telah memutuskan supaya…
Berita Global
Berdasarkan data jumlah jualan kenderaan di Malaysia untuk tahun 2019, secara keseluruhannya Geely/…