Peraturan emisi Eropah diperketatkan, BMW terpaksa tamat produksi M2 lebih awal

oleh Mohamad Hanif|
Peraturan pelepasan emisi yang semakin ketat dilaksanakan di Eropah memaksa sesetengah syarikat pengeluar terpaksa menghentikan produksi beberapa buah model disebabkan tidak mematuhi syarat dan regulasi yang telah ditetapkan.

Untuk para peminat BMW mungkin satu berita yang cukup menyedihkan apabila laporan daripada BimmerToday mengesahkan model BMW M2 F87 akan ditamatkan produksinya menjelang musim luruh 2020.

Keputusan itu dibuat merangkumi kedua-dua varian BMW M2 Competition dan juga BMW M2 CS yang nampaknya menerima sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan para pelanggan BMW di benua tersebut.

 


Ini bermakna, BMW M2 Competition merupakan satu-satunya kenderaan yang dilengkapi dengan nadi enam silinder sebaris S55 biturbo selepas penamatan produksi BMW M4 Coupe dan BMW M4 Convertible.

BMW tidak pula merancang untuk mengadaptasi sebarang perubahan bagi membolehkan enjin tersebut mematuhi regulasi emisi terbaharu memandangkan BMW sendiri sedang merancang untuk melancarkan model M2 serba baharu menjelang tahun 2022.

BMW 2 Series Coupe (G42) dikatakan bakal memasuki produksi menjelang tahun 2021, dan ia menandakan generasi terkini BMW 2-series bakal tamat secara rasmi termasuklah model berprestasi tinggi M2.

Sumber: BimmerToday

Add new comment