Perak tubuh jawatankuasa teliti pembangunan sekitar Proton City

oleh Mohamad Hanif|
Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kerajaan Perak untuk meneliti keperluan pembangunan di sekitar Proton City, menurut laporan Bernama.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kini sudah hampir 3,000 pekerja Proton Holdings Bhd (Proton) sudah berpindah dan baki 4,000 akan berbuat demikian secara berperingkat sehingga 2026. 

Keadaan ini memerlukan kerajaan negeri memastikan keperluan seperti perumahan dan sekolah adalah tersedia.

“Jadi saya yakin dengan kebanjiran pekerja Proton ini yang akan datang bersama pasangan dan keluarga yang akhirnya akan menjadikan kawasan ini sebuah bandar baharu yang akan dapat memberi nikmat ekonomi kepada daerah Muallim dan Batang Padang.

“Kita memang sudah ada sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk SS (Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) untuk melihat keperluan menjelang 2027,” katanya pada sidang media selepas merasmikan fasiliti terbaharu kilang Proton dan melancarkan produk SUV terbaharu Proton di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerajaan negeri dapat bantu memudahkan urusan mereka yang akan menetap atau bekerja di kawasan itu pada masa hadapan.

Terdahulu dalam ucapannya, Saarani berkata beliau dimaklumkan kini terdapat kira-kira 3,000 pekerja Proton di Tanjung Malim dan jumlah itu dijangka bertambah dua kali ganda kepada 7,000 orang menjelang 2026, sudah cukup mencerminkan impak berganda kepada prospek ekonomi yang bakal dinikmati penduduk sekitar kawasan berkenaan.

“Malah, selepas 20 tahun di Perak, Proton telah banyak memberi sumbangan dari segi pelaburan, pekerjaan dan pembayaran cukai. Setakat ini, saya difahamkan, cukai sebanyak RM150 juta telah disumbang Proton kepada kerajaan negeri.

“Dari segi pelaburan, sebanyak RM2.3 billion telah dilabur sejak 2018 sehingga 2022 untuk menambahkan fasiliti di kilang Proton, malah dengan pelancaran model baharu SUV ini, ada lima model Proton bakal dihasilkan di sini,” katanya.

Sumber: Bernama