Penutupan kilang automotif oleh MKN - apa logiknya bila kilang lain boleh beroperasi?

oleh HEZERI SAMSURI|
Tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti pengilangan bagi sektor automotif bakal menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Saya diberitahu oleh sumber-sumber industri bahawa pengumuman oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) berkaitan sektor automotif hanya dibenarkan untuk menjalankan operasi perkhidmatan dan penyelenggaraan sahaja adalah dari keputusan MKN. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malah siaran akhbar itu menekankan sektor automotif tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti perkilangan.

Ini menimbulkan rasa hairan terhadap ramai pemain industri automotif kerana pihak mereka sudah mempraktikan semua SOP berkaitan dengan COVID-19 dan tiada lagi kluster baharu dari sektor itu.

"Tidak ada syarikat automotif yang mahu mengambil risiko memburukan jenama masing-masing dengan memperlekehkan SOP Covid-19. Kami hormat tindakan MKN tetapi kami juga mahu suara dan alasan kami didengari," ujar salah seorang eksekutif tinggi dari sebuah syarikat automotif Jepun yang Careta hubungi.

Di bawah ialah antara butiran penting rentetan dari tindakan MKN untuk menghentikan bahagian perkilangan dalam sektor automotif.

 

 

  • Walaupun impak ekonomi negara terhadap COVID-19 ini memang besar, sektor automotif nampaknya masih mampu bertahan. Lebih dari 700,000 pekerja terbabit dalam industri ini dan sehingga sekarang, cuma ada satu kluster dari sektor itu tetapi telah diselengara dengan baik dan selesai dalam tempoh seminggu.
  • Permintaan dari pasaran tempatan juga menggalakkan. Setakat semalam, Proton mempunyai lebih kurang 60,000 tempahan dan separuh darinya adalah untuk model X50.
  • Sumber kami dari Proton juga berkata proses pengilangan tidak boleh dihentikan dengan segera kerana ia perlu memastikan kerangka dan badan kenderaan yang sudah siap diproses sehingga habis agar ia tidak rosak.
  • Proton juga terpaksa menanggung belanja lebih untuk simpanan komponen CKD mereka selama kilang ditutup.

 

 

 

  • Jurucakap Honda Malaysia juga berkongsi pandangan yang sama. Ia mempunyai lebih dari 10,000 tempahan sekarang dan Honda Malaysia sedang menunggu permohonan rayuan dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA) kepada MITI dan MKN untuk membenarkan kilang mereka beroperasi mengikut SOP yang ketat.
  • Rakan Careta di Perodua juga berkata tindakan ini akan menyukarkan operasi, pembekal dan juga pelanggan-pelanggan mereka. 
  • Laporan terakhir Perodua menunjukan ia menggunakan lebih dari 90 peratus komponen tempatan, yang tertinggi di Malaysia.
  • Ini menjadikan larangan kilang automotif dari beroperasi menjadi tidak masuk akal kerana dewan pameran dan pusat servis tidak ada kenderaan dan alatganti kerana ia tidak boleh dihasilkan.

 

 

  • Industri automotif negara bukan hanya menghasilkan komponen-komponen untuk penggunaan domestik. Malaysia adalah satu lokasi penting di dalam rantai komponen kenderaan global di mana banyak produk komponen bernilai tinggi datang dari vendor-vendor tempatan dan dieksport ke luar negara.
  • Jika Malaysia tidak dapat menghasilkan komponen, maka rantaian itu terputus dan syarikat global dengan segera akan memindahkan tempahan mereka dari Malaysia ke negara-negara lain.
  • Menurut laporan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARIi), jumlah eksport komponen automotif negara pada tahun 2019 mencecah RM15.45 bilion, penambahan dari RM13.7 bilion berbanding dengan tahun sebelumnya.
  • Jumlah eksport komponen tempatan ke pasaran asing dari Januari hingga Oktober 2020 pula sudah melangkaui RM10 bilion. 
  • Tindakan MKN ini bakal mengubah sasaran negara untuk mengeksport sejumlah RM50.6 bilion komponen automotif menjelang 2030.

 

 

  • Careta diberitahu bahawa beberapa agensi sedang berusaha untuk meminta MKN mengkaji semula keputusan melarang aktiviti perkilangan untuk beberapa sektor.
  • Dalam siaran akhbar terkini MARii, agensi teknologi untuk MITI itu menyatakan bahawa secara dasarnya, ia menyokong keputusan MKN tetapi ia meminta agar agensi keselamatan negara itu untuk mengkaji semula larangan bagi sektor automotif.
  • Ini ialah kerana sudah ada teknologi-teknologi baharu yang mampu membantu memperketatkan lagi SOP berkaitan Covid-19 agar kilang-kilang boleh dibenarkan beroperasi.
  • Antaranya ialah teknologi pengesan ImmuSAFE, aplikasi yang direka khusus untuk sektor pembuatan semasa pandemik ini. Ia sudah siap untuk digunakan dan mampu mengesan pergerakan pekerja secara langsung. 
  • ImmuSAFE dibangunkan oleh MARii dan syarikat Sengenics Sdn Bhd dan disahkan oleh Institut Kajian Perubatan (IMR), satu agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

 

Tidak ada sesiapa yang mahu memandang remeh akan bahaya Covid-19 dan juga segala usaha untuk membendungnya, cuma rayuan dari sektor automotif dan sektor-sektor lain perlu diambil berat kerana ia adalah salah satu cabang pendapatan negara.

Ramai yang baru-baru ini menghentam pihak kerajaan kerana "membiarkan" pengaliran pelaburan asing ke negara-negara jiran, dan secara jujur saya katakan, yang terima bahana adalah pegawai-pegawai kerajaan yang tidak dapat "lari" sebagaimana tuan menteri dan ahli politik sekalian.

Kali ini, kita perlu kaji balik tindakan kita kerana dalam masa negara-negara lain sedang aktif "merembat" peluang yang ada, jangan kita terlalu cepat melarang semua aktiviti sehingga apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Menurutnya, antara negara yang dimasukkan dalam senarai itu ialah China, Arab Saudi, United…
Berita Domestik
Beliau menegaskan kelonggaran merentas negeri bergantung kepada fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (…
Berita Domestik
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan, kerajaan memerlukan sedikit masa lagi…