Laporan Malaysian Insight memetik kata-kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya, Mohad Azharuddin Mat Sah yang menyebut masalah pada sistem ATC tidak pernah berlaku sebelum ini.
Jelasnya lagi, pihak jurutera sedang meneliti perkara itu dan masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.
“Kami memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menghentikan sementara perkhidmatan kereta api demi keselamatan penumpang.
“Kami masih cuba mengenal pasti punca sebenar gangguan itu. Pasukan RapidKL kini dibantu oleh pakar pengeluar peralatan asal untuk mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 73 bas pengantara telah digunakan ke lima laluan berbeza di sepanjang laluan Kelana Jaya untuk membawa penumpang ke destinasi mereka sebagai penyelesaian sementara, dan lebih banyak lagi akan ditambah kemudian.
Terdahulu, pihak Rapid Rail mengumumkan gangguan operasi perkhidmatan LRT di mana 16 buah stesen LRT tidak akan beroperasi bermula 9 November hingga 15 November 2022.
Stesen yang terlibat bermula dari Kelana Jaya hingga ke Stesen Ampang Park.
Sumber: The Malaysian Insight