Pemandangan luar biasa ini mula mendapat perhatian selepas satu video tular di Instagram memaparkan deretan Cybertruck tidak berdaftar terbiar di atas lot beraspal itu. Sejak itu, jumlah kenderaan hanya bertambah, sekali gus menimbulkan persoalan tentang apa yang sedang berlaku di sebalik tabir Tesla.

Menurut Pengarah Perancangan dan Pembangunan Komuniti Farmington Hills, penyimpanan kenderaan bukanlah penggunaan tanah yang dibenarkan di lokasi tersebut. Pihak bandar telah menghantar notis kepada pemilik tanah dan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan, namun mengakui proses itu bukanlah segera.
Cybertruck Semakin Kurang Diminati?
Cybertruck trak elektrik berpenampilan futuristik dengan badan keluli tahan karat sebelum ini mencuri perhatian global, tetapi kini kelihatan seolah-olah kehilangan daya tarikan. Pada suku pertama 2025, Tesla hanya berjaya menghantar sekitar 6,400 hingga 7,100 unit Cybertruck, berbanding lebih 13,000 unit pada suku sebelumnya. Penurunan ini cukup drastik untuk membolehkan Ford F-150 Lightning merampas semula takhta sebagai trak elektrik paling laris di pasaran.
Walaupun sedikit penurunan dijangka selepas musim jualan suku keempat, skala penurunan ini menimbulkan persoalan sama ada minat terhadap Cybertruck sudah mulai pudar atau Tesla kini berdepan masalah lebih besar dalam rantaian bekalan dan logistik mereka.
Taktik Tesla Yang Bukan Baharu
Penggunaan lot parkir sementara untuk menyimpan lebihan kenderaan bukanlah sesuatu yang asing bagi Tesla. Syarikat itu pernah menggunakan tapak kosong, termasuk kawasan pusat beli-belah atau tanah lapang berhampiran bilik pameran, sebagai tempat ‘menyimpan’ stok sedia ada. Situasi di Farmington Hills juga tidak terkecuali bilik pameran Tesla yang baru dibuka hanya sekitar satu batu dari tapak tersebut, beroperasi di bangunan lama Barnes & Noble.
Kedai itu antara yang terawal di Michigan selepas Tesla menang kes mahkamah pada tahun 2016 bagi membolehkan mereka menjual terus kepada pelanggan, menewaskan larangan jualan oleh pengedar tradisional yang sebelum ini mengikat pasaran tempatan.
Simptom Masalah Lebih Besar?
Fenomena ini berlaku ketika Tesla berdepan cabaran pelbagai penjuru dari kelembapan jualan, tekanan pelabur, hinggalah kepada persaingan sengit dengan pengeluar dari China seperti BYD. Malah, dalam perkembangan terbaru, BYD telah mengatasi Tesla dari segi jualan EV di pasaran Eropah.
Gabungan imej jenama yang semakin tercalar akibat isu kualiti, kelewatan penghantaran, dan reaksi pasaran terhadap model seperti Cybertruck yang terlalu 'berani', menjadikan Tesla kini berada di persimpangan penting. Sama ada lot penuh Cybertruck ini hanyalah isu logistik jangka pendek, atau sebenarnya petanda kepada masalah struktur lebih mendalam hanya masa yang akan menentukan.