Penunggang p-hailing maut nahas dengan motosikal

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG penunggang p-hailing maut setelah terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal ditunggang seorang remaja di Jalan Perpaduan dekat simpang Dataran Perpaduan 3, di Ipoh petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
MINI MREC Banner Campaign February 2025 - Week 2

Remaja berusia 16 tahun terbabit pula cedera ringan.

 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa keluar dari simpang untuk membelok ke arah kanan.

 

"Pada masa yang sama seorang lagi penunggang motosikal lelaki datang dari arah Tambun menghala ke Bercham.

 

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, remaja tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kanan motosikal p-hailing, lalu terbabas dan jatuh di tengah jalan," katanya.

 

Katanya, akibat pelanggaran itu penunggang p- hailing hilang kawalan dan terseret ke bahu kanan jalan sebelum terjatuh.

 

Pelanggaran tersebut katanya menyebabkan penunggang motosikal p-hailing cedera parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.

 

Abang Zainal Abidin berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan dan bedah siasat.

 

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

📸 PDRM