Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Bayan Lepas menghala ke Farlim.
Katanya, sebaik mangsa berada berhampiran tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) JPT 134, secara tiba-tiba sebongkah batu bersaiz kira-kira 0.5 meter dan seberat 50 kilogram (kg) terjatuh dari lereng bukit sebelah kiri dan terkena kepalanya.
“Kejadian itu menyebabkan dia terjatuh di atas jalan, manakala motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian,” katanya pada Isnin.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan segera berhubung insiden terbabit.
“Semua pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan diminta supaya berhati-hati,” katanya.