Penukaran nama Jalan Universiti ke Jalan Prof Diraja Ungku Aziz

oleh SALINA JALIL|
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin ldris Shah Alhaj berkenan menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.


Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, pertukaran nama jalan berkenaan akan dilaksanakan dengan segera.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Baginda berkenan untuk mengabadikan nama tokoh tersohor tanah air itu pada jalan berkenaan bagi mengenang jasa dan bakti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.

 

"Baginda juga berkenan menerima menghadap anak Allahyarham iaitu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda sekali gus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan," jelas kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu lagi, pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana ia adalah jalan pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti MAHSA.

 

Untuk rekod, Allahyarham pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari tahun 1952-1961, sebelum dilantik pula ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dari tahun 1962-1965.

 

Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer adalah jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur dan dibina pada tahun 1960.

 

Ia adalah jalan dua hala pertama di Malaysia dan menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuhraya Persekutuan, Jalan Prof Khoo Kay Kim, Jalan Dato' Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan.

 

Terdahulu, tokoh ekonomi dan pendidikan negara itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

 

 

 

 

Harian Metro