Pengusaha terima diesel murah, harga tambang bas sekolah, ekspres kekal

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Persatuan pengusaha bas sekolah dan ekspres mengekalkan tambang berikutan kos operasi yang ditanggung mereka dalam kawalan serta masih membeli bahan bakar itu di bawah harga pasaran, RM1.88 seliter.

Ia berikutan kebanyakan pengusaha itu yang mempunyai kad 'fleet' menikmati diesel bersubsidi pada harga itu sekali gus membolehkan kos operasi mereka dikekalkan.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, bagaimanapun berkata ada sebilangan pengusaha belum lagi mendaftar untuk mendapatkan kad berkenaan berikutan perbezaan harga tidak ketara sebelum penyasaran subsidi diesel RM2.15 seliter berbanding RM1.88 diesel bersubsidi yang bermula Isnin lalu.

"Namun apabila diesel tanpa subsidi ditetapkan pada harga RM3.35 seliter, baru ramai pengusaha mula mendaftar hingga membuatkan sistem dalam talian itu tergendala. Difahamkan pemprosesan setiap permohonan mengambil masa hingga dua bulan.

"Bagaimanapun, setakat ini tambang sekolah yang ditetapkan sendiri antara pengusaha dan ibu bapa tidak berubah kerana bas sekolah antara kenderaan yang layak menerima bantuan kad fleet di bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)," katanya ketika dihubungi Berita Harian, pada Khamis.

Kad fleet itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter yang diperuntukkan di bawah SKDS.

Inisiatif diperkenalkan kerajaan bertujuan mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi MADANI yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

Dalam pada itu, Amali Munif, berkata satu mesyuarat berkaitan diesel juga diadakan hari ini di Putrajaya membabitkan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, katanya, walaupun pengusaha bas sekolah bernasib baik kerana menerima subsidi, akan berdepan kos penyelenggaraan, alat ganti dan lain-lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata setakat ini tiada keputusan menaikkan tambang ekspres.

"Struktur tambang bas ekspres terbahagi kepada dua jenis, iaitu kelas ekonomi dan eksekutif.

"Bagi kelas ekonomi harga tambang ditetapkan kerajaan dan mempunyai harga siling sementara kelas eksekutif tiada penetapan.

"Setakat ini memang tiada keputusan menaikkan tambang kerana sejak setahun lalu kita memohon pertambahan kuota diesel dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah memajukannya untuk perhatian Kabinet," katanya.

Berita Berkenaan

Informasi
  Kata beliau, pihaknya mahu lebih kepada usaha advokasi atau pendidikan berbanding tindakan…
Berita Domestik
  "Tapi dalam simposium yang dihadiri lebih 40 persatuan pada 12 Mac lalu, hasrat itu disuarakan…
Informasi
  Katanya, pihaknya tidak menolak perkara itu di luar skop Kementerian Pengangkutan, tetapi…