Pengusaha kereta, van dan motosikal haram Thailand bebas beroperasi di sempadan Malaysia!

oleh SALINA JALIL|
Bukan setakat berlagak seperti samseng, pengusaha pengangkutan haram daripada Thailand yang sering memasuki Malaysia untuk “memperluas operasi” mereka dilihat memperkecilkan kemampuan badan penguat kuasa negara ini.


Hasil risikan Bernama selama sebulan di sekitar Padang Besar mendapati pengusaha kereta dan van serta motosikal haram itu seolah-olah ‘kebal’ dan bebas melakukan aktiviti mereka tanpa rasa takut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Seorang pengusaha van haram yang tidak mahu identitinya didedahkan mendakwa kenderaan yang digunakan oleh pihak berkuasa tidak mampu mengejar mereka kerana van yang digunakan adalah lebih laju.

 

“Depa tak mampu nak ligan kami (Mereka tidak mampu mengejar kami) ...memandangkan van yang kami gunakan lebih laju kecuali jika mereka (pihak berkuasa) menggunakan kenderaan lebih laju seperti kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Honda CRV,” katanya kepada Bernama.

 

Warga Thailand yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Mat’ itu berkata sekiranya ditahan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mereka tidak perlu risau kerana kadar  kompaun yang dikenakan atas  kesalahan melanggar syarat Permit Edaran Antarabangsa (ICP) hanya RM150 sahaja.

 

“Bayar RM150 (bayaran kompaun mengambil penumpang tanpa permit) kepada JPJ dah boleh lepas ...tidak perlu risau apa-apa dan boleh teruskan perjalanan,” katanya.

 

Beliau berkata operasi mereka tidak hanya tertumpu mengambil penumpang dalam negeri Perlis sahaja tetapi seluruh Semenanjung seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah hingga ke Negeri Sembilan dengan kadar tambang RM140 seorang bagi perjalanan pergi balik untuk membawa pekerja restoran makanan Thai memperbaharui pas lawatan sosial di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar.

 

“Satu van boleh muat sehingga 14 orang jadi dalam satu trip (perjalanan) boleh cecah RM1,960 dan ia agak lumayan,” katanya.

 

sewa

 

Seorang penumpang van haram yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 21, daripada Pattani, Thailand berkata beliau sering menggunakan perkhidmatan bagi memperbaharui pas lawatan sosial di Padang Besar.

 

“Saya guna perkhidmatan van kerana ia lebih murah dan cepat berbanding mengguna kemudahan pengangkutan awam lain seperti bas,” katanya yang bekerja sebagai tukang masak restoran masakan Thai di Seremban.

 

Mohamad mendakwa bahawa urusan ‘cap pasport’ diuruskan oleh pemandu serta orang tengah dan beliau hanya menunggu dalam van sehingga urusan selesai.

 

“Biasanya setiap tiga bulan sekali, saya bertolak awal pagi dari Seremban dan akan balik ke Seremban pada hari yang sama kerana malam sudah kena kerja walaupun penat ...kalau tak kerja nanti ‘tauke’ (majikan) marah,” katanya.

 

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia negeri Perlis menafikan dakwaan terdapat warga Thailand yang terlibat dengan kegiatan pengangkutan haram itu keluar masuk ke negara ini secara tidak sah dan melanggar Akta Imigresen.

 

Pengarahnya Basri Othman berkata mereka masuk secara normal sebagai pelancong dengan menggunakan pasport yang sah.

 

“Sejak 2018, kita telah adakan lima kali operasi untuk banteras dan Imigresen hanya akan tangkap jika tidak ada dokumen sahaja ...pasal kenderaan keluar masuk itu di bawah bidang kuasa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya.

 

Bagaimanapun, katanya pihaknya telah berbincang dengan pihak berkuasa kerajaan negeri sebelum ini dan masih di peringkat pemantauan berikutan pelaksanaan beberapa aspek teknikal yang perlu mendapatkan kelulusan pelbagai pihak.

 

“Saya tak nafikan kemungkinan wujud dua keadaan iaitu cap palsu atau pertolongan daripada pegawai dalaman dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

 

Basri berkata pihaknya memperhebat gerakan dan memperkukuh unit integriti dan tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat mana-mana warga asing melanggar Akta Imigresen.

 

 

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Malah, ada juga warga tempatan yang turut terlibat dalam aktiviti kereta sapu ini. Pemeriksaan…
Berita Domestik
  "Kalau perkhidmatan seperti Grab itu tidak ada masalah tetapi yang kita pantau kereta biasa (…