Pengusaha bas ekspres, persiaran bantah kerajaan benarkan permit diberikan kepada bas Singapura

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Lebih 1,000 pengusaha bas ekspres dan persiaran yang bernaung di bawah lima persatuan di seluruh negara membantah sekiranya Kementerian Pengangkutan memberi kebenaran atau permit kepada bas ekspres dari Singapura untuk masuk ke Malaysia.

Mereka menyifatkan, sekiranya kebenaran itu diberi kepada operator bas dari Singapura, ia bakal melumpuhkan operasi pengusaha bas di negara ini.

Malah mereka mendakwa, jika sekarang ini pun kerajaan belum memberi permit operasi, namun sudah banyak bas dari Singapura beroperasi di negara ini secara haram.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBM) Zainal Abidin Mehat berkata, pihaknya bersama empat persatuan yang lain sudah mengadakan libat urus dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) beberapa kali sebelum ini berhubung isu terbabit.

"Kami menyatakan secara jelas membantah Kementerian Pengangkutan memberi permit bagi membolehkan bas ekspres dari Singapura itu masuk dan beroperasi di sini.

"Kami juga dimaklumkan jika larangan itu diteruskan, pihak Singapura juga akan melarang bas ekspres dari Malaysia masuk ke negara berkenaan, namun sekiranya larangan itu dilakukan, pihak pengusaha bas bersetuju untuk tidak masuk ke negara itu.

"Ini kerana terlalu banyak kesan yang akan timbul sekiranya kebenaran diberi kerajaan dan pada masa sama boleh melumpuhkan operasi pengusaha bas di negara ini kerana mereka akan monopoli industri ini.

"Mereka (pengusaha bas Singapura) sudah tentu akan monopoli perkhidmatan bas di negara ini termasuk membeli syarikat bas yang kecil memandangkan pembelian di Malaysia berlaku dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM)," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Zainal Abidin berkata, pihaknya turut mengakui terdapat pengusaha tempatan yang memberi pajakan lesen kepada pengusaha bas dari Singapura.

Katanya, ia kerana syarikat bas tempatan berkenaan mungkin memperoleh bayaran yang lumayan namun sejauh mana perkara itu berlaku, pihaknya tiada maklumat.

"Apa yang pasti kita berharap pihak kementerian mendengar permintaan pengusaha bas tempatan yang tidak membenarkan permit diberikan kepada pengusaha bas dari Singapura," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat memaklumkan Kementerian Pengangkutan dikatakan sedang mempertimbang untuk membenarkan permit diberikan kepada pengusaha bas dari Singapura sekali gus membolehkan mereka masuk ke Malaysia.

Harian Metro