Pengumuman mekanisme subdisi bersasar dalam tempoh dua minggu lagi - Menteri

oleh Mohamad Hanif|
Mekanisma pelaksanaan program subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) akan diumumkan dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Kertas kerja mengenainya sedang diperhalusi sebelum mekanisme itu diumumkan, katanya pada sidang media selepas majlis himpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.

"Tarikh pelaksanaan program bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan nasihat jemaah menteri," katanya ketika ditanya mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan program tersebut.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata sangat berpuas hati dengan tahap penyediaan kertas kerja yang disediakan dan dalam fasa akhir mengulang semak data-data kumpulan sasar bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menerima subsidi petrol.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kementerian itu akan melihat kaedah yang dilaksanakan Taiwan dan Turki yang berupaya membendung masalah kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang keperluan secara melampau.

Menurutnya, Taiwan yang sering dilanda taufan dilihat tidak berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang manakala di Turki, kerajaan mengamalkan campur tangan melalui penglibatan pihak berkuasa tempatan dalam aspek kawalan bekalan makanan dan menangani isu kenaikan harga barangan.

"Kita akan hantar pegawai-pegawai terbaik pergi kedua-dua negara itu bagi mempelajari model yang digunakan mereka dalam kawalan harga barangan pengguna," katanya.

Sumber: Bernama

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kekurangan data itu menyebabkan kerajaan tidak dapat menentukan sistem pembayaran untuk kumpulan…
Berita Domestik
Pegawai KPDNHEP itu berkata, keputusan menggunakan format wang tunai ini dicapai selepas…
Berita Domestik
Golongan B40 bakal menerima subsidi bahan api daripada kerajaan secara terus menerusi akaun bank…