Penguatkuasa PBT Perak bakal dilengkapi kamera badan

oleh Hamimah Hamid|
PENGUATKUASA di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak bakal dilengkapi kamera badan bagi meningkatkan mutu penguatkuasaan ketika di lapangan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, penggunaan teknologi itu bertujuan mengelakkan sebarang kontroversi serta meningkatkan ketelusan pasukan penguat kuasa menjalankan tindakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, kerajaan negeri dalam pertimbangan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan itu pada suku pertama tahun hadapan.

 

"Melalui penggunaan kamera badan ini secara tidak langsung dapat membantu penguat kuasa PBT apabila menjalankan penguatkuasaan.

 

"Semua operasi termasuk parkir kereta, menangkap haiwan jalanan dan merayau, lawatan semakan lesen perniagaan serta pemantauan isu sampah haram akan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu," katanya.

 

Ujar Sandrea, pemasangan kamera badan itu juga akan meningkatkan tahap ketelusan dengan memastikan hak serta kepentingan antara penguat kuasa dan masyarakat terlindung.

 

Pada masa sama katanya, pembuktian rakaman menerusi pemakaian kamera badan juga akan membantu jika berlaku sebarang isu apabila proses penguatkuasaan berlaku.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.

 

Setakat ini beberapa PBT di negeri lain sudah melaksanakan penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa mereka antaranya Johor dan Selangor.