Pengiring anak MP tak dapat arahan rasmi - KP Pulau Pinang

oleh Mohamad Hanif|
“Tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat Kontinjen Pulau Pinang untuk penugasan mengiringi orang awam pada hari tersebut.”
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Itu tegas Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau mengulas berhubung perkembangan siasatan kes dakwaan anggota polis trafik mengiringi anak seorang Ahli Parlimen dalam video tular di Jalan Bukit Gambir di sini pada Sabtu lalu.

Kata Mohd Shuhaily, merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Nombor 11 (Prosedur atur gerak dan membuka laluan trafik), proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali kecemasan.

Jelas beliau, pegawai yang bertanggungjawab perlu membuat penilaian permohonan itu bagi membuat keputusan sebelum rekod kelulusan permohonan dicatat dalam buku daftar dan buku perharian.

“Selepas siasatan dalaman dibuat, kita dapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan pucuk pimpinan PDRM di peringkat Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari itu.

“PDRM memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia tugasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, lelaki berusia 20-an yang terbabit dalam video berkenaan juga sudah dihubungi bagi memberi kenyataan.

“Kita minta individu berkenaan tambil memberi keterangan lanjut kerana jelas ia boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau ada elemen bagi menjatuhkan maruah PDRM atau sebaliknya.

“Individu itu sudah dihubungi dan dia akan beri kerjasama yang sebaiknya.

“Selain itu, kedua-dua anggota trafik yang terbabit mengiringi orang awam itu kini ditempatkan di bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sentiasa konsisten pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit salah laku bertentangan dengan SOP yang ditetapkan.

Sumber: MalaysiaGazette