Pengiraan Halim Saad langsung tak tepat - PLUS

oleh HEZERI SAMSURI|
Isu Plus Malaysia Berhad bakal dijual sudah semakin hangat.

Ini ditambah lagi apabila Tan Sri Halim Saad, antara individu yang terbabit di dalam pembinaan awal lebuhraya itu dan juga konsesinya membuat tawaran untuk membeli syarikat milik rakyat tersebut (PLUS dimiliki oleh Khazanah Berhad dan KWSP, keduanya agensi yang berada di bawah payung kerajaan sendiri).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beberapa isu ditimbulkan oleh syarikat milik persendirian yang mahu membeli PLUS dengan pakej yang dilihat oleh ramai pakar ekonomi sebagai merugikan kerajaan.

PLUS semalam bangkit dan menjawab pertuduhan oleh Halim yang ternyata tidak memberikan gambaran yang tepat.

Malah, mengejutkan juga apabila seseorang seperti beliau memberikan fakta-fakta yang sangat berbeza dari realiti dalam usaha beliau untuk menjadikan harta rakyat ini milik persendirian.

Kenyataan-kenyataan yang kurang tepat tersebut adalah seperti berikut:-

  1. “Sejak pengambilalihan itu, hutang meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion yang ditetapkan pada 1988. Hanya RM700 juta (hutang) dibayar. Jadi manakah tunai daripada pendapatan tahunan dibelanjakan?” 
  2. “Apabila Halim (Tan Sri Halim Saad) mendakwa ketika beliau meninggalkan operasi PLUS sembilan tahun lalu, jumlah pinjaman hanya berada pada RM6 bilion, lima kali lebih rendah berbanding hutang semasa pengendali lebuh raya itu.” 
  3. “Langkah terbaik untuk PLUS Malaysia Bhd adalah diuruskan syarikat swasta.”

Apabila Syarikat Danasaham Sdn Bhd (yang kemudian memindahkan semua asetnya kepada Khazanah Nasional Berhad) mengambil alih UEM Group Berhad ("UEMG") daripada Renong Berhad dan UEMG diswastakan pada tahun 2001, PLUS adalah anak syarikat milik penuh UEMG, namun PLUS mempunyai hutang sedia ada dengan jumlah pinjaman sebanyak RM16.5 bilion pada tahun kewangan 31 Disember 2001. 

Jumlah hutang ini hampir tiga kali lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan dalam kenyataan Tan Sri Halim Saad. 

 

 

Lanjutan daripada itu, UEMG di bawah pemegang saham yang baru, Danasaham, telah berjaya menyenaraikan PLUS di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia) melalui Tawaran Awam Awal (Initial Public Offering) pada 2002 dengan nilai sebanyak RM12.75 bilion, yang berjaya mengurangkan hutang PLUS kepada RM7.2 bilion. 

PLUS telah disenaraikan di Bursa Malaysia selama sembilan tahun dan sepanjang tempoh tersebut, PLUS telah berjaya mengembangkan perniagaannya melalui pembelian lebuh raya-lebuh raya lain (serta pinjaman mereka) seperti ELITE dan LINKEDUA. 

PLUS kemudiannya diswastakan pada November 2011 di bawah tawaran bersama daripada UEMG dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF), berdasarkan penilaian yang diluluskan sebanyak RM23.0 bilion, untuk menangani kehendak yang berbeza di antara pelabur asing, institusi dan pelbagai pihak berkepentingan di dalam negara berhubung isu kenaikan kadar tol. 

Oleh yang demikian, bagi membiayai kos penswastaan sebanyak RM23.0 bilion serta pembiayaan balik pinjaman PLUS berjumlah RM11.5 bilion, PLUS telah menerbitkan Sukuk Islam terbesar berjumlah RM30.6 bilion pada Januari 2012.

PLUS bukan sahaja dianggap sebagai syarikat konsesi tol terbesar dan paling berpengalaman di rantau Asia Tenggara tetapi ia juga berada di antara 10 syarikat lebuh raya utama dunia, dan sentiasa mengukur keupayaannya menerusi  kecemerlangan operasi dan kos. 

 

 

Antara perkara yang perlu ambil kira adalah PLUS tidak menaikkan kadar tolnya selama 14 tahun sejak tahun 2005 dan kadar tol semasa bagi setiap kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) adalah salah satu yang terendah di negara ini.

Keuntungan yang diterima oleh PLUS diagihkan kepada pemegang sahamnya, KWSP dan Khazanah Nasional Berhad (melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group), seterusnya memberi faedah dan manfaat kepada Pencarum KWSP (14 juta ahli) iaitu rakyat dan Kerajaan. 

Baru-baru ini Pengarah Urusan Khazanah Berhad, Shahril Ridza Ridzuan sendiri menerangkan bahawa pihaknya tidak berminat untuk menjual aset negara itu dan Khazanah tidak ada melalui sebarang proses membida yang langsung.

Amat sayang sekali apabila aset negara yang menguntungkan dan menjana pendapatan untuk rakyat dijual tanpa sebab yang kukuh kepada individu-individu. Paling menjelikkan apabila ada pemimpin yang seolah-olah mahu rakyat berfikiran PLUS ini bukan milik kerajaan dan perlu dijual kerana kerajaan "tidak boleh mengawal" PLUS.

Bagi penulis, ia juga menerangkan kenapa hak pengguna tidak diberi keutamaan langsung di dalam Malaysia kerana rakyat cuma penting setiap lima tahun sahaja.

Harapkan pegar, pegar makan padi. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kita juga ada papan tanda elektronik (VMS) dan memasang lampu hijau berkelip di atas papan tanda…
Berita Domestik
Di antara penambahbaikan tersebut adalah pemasangan Lampu Hijaun Berkelip (Green Flashing Light)…
Berita Domestik
Menurutnya, PLUS telah menambah baik laluan SmartLane bagi menampung peningkatan jumlah trafik pada…