Inilah Bugatti W16 Mistral dalam spesifikasi “Caroline”, sebuah one-off yang sarat dengan nilai emosi dan sentuhan peribadi.
Dibangunkan di bawah program Bugatti Sur Mesure, model itu direka khas sebagai penghormatan kepada anak perempuan pemiliknya.
Setiap elemen daripada warna, material hingga perincian halus dibentuk untuk menterjemahkan emosi ke dalam bentuk fizikal.
Inspirasi utama datang daripada dunia bunga dan fesyen haute couture, rekaannya dihasilkan antara Molsheim dan studio rekaan Berlin, dengan rujukan kepada ladang lavender di Provence serta taman-taman klasik Paris.
Bahagian luaran tampil dengan warna khas “Lavender” yang dibangunkan eksklusif yang berubah mengikut pencahayaan, kadang-kadang nampak kebiruan, kadang-kadang lebih hangat, memberi efek dinamik pada bentuk badan Mistral, di bahagian bawah pula, kemasan “Violet Carbon” menambah kontras dan kedalaman visual.
Tema floral paling menyerlah di bahagian belakang, sayap aktif (air brake) menjadi kanvas kepada lukisan tangan dengan gradasi warna lilac dan iris, dihasilkan melalui proses masking berlapis yang sangat kompleks.
Di tengah-tengahnya tertera nama “Caroline”, elemen paling peribadi dalam keseluruhan projek ini, setiap lapisan cat diaplikasikan dengan ketepatan milimeter, menghasilkan efek tiga dimensi yang hanya benar-benar terserlah apabila sayap dibuka.
Masuk ke dalam kabin, falsafah yang sama diteruskan dengan gabungan kulit “Blanc” dan “Minuit” bersama aksen ungu dan gentian karbon mencipta suasana mewah yang harmoni dengan luaran.
Motif bunga diterjemahkan melalui sulaman halus dengan ribuan jahitan, memberikan tekstur dan pergerakan visual yang hidup, headrest dan panel pintu turut dihiasi corak kelopak yang seolah-olah ditiup angin.
Di tengah kabin, tuil gear menempatkan arca “Dancing Elephant” hasil karya Rembrandt Bugatti, ikon klasik Bugatti yang dibaluti dalam kaca berwarna, menyatukan elemen seni tradisional dengan inovasi moden.
W16 Mistral “Caroline” bukan sekadar hypercar terakhir dengan enjin W16, ia adalah manifestasi tertinggi personalisasi dalam dunia automotif, di mana kejuruteraan bertemu emosi, dan sebuah kereta berubah menjadi karya seni yang unik.