Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof menerusi temubual bersama portal Free Malaysia Today (25 Januari 2022).
Namun begitu, pelaksanaan ini bergantung kepada kadar penembusan tag RFID mencapai kadar yang memuaskan, dan bila mana pemegang konsesi lebuh raya sedia untuk menambah pilihan pembayaran dalam talian.
"Tidak lama nanti, rakyat boleh menggunakan apa jua mod pembayaran digital, seperti eDompet Touch 'n Go, kad debit atau kad kredit, Visa atau Mastercard, atau sebarang sistem pembayaran elektronik.
Beliau menambah, hanya satu tag RFID sahaja yang akan diperlukan untuk tujuan pembayaran tersebut.

Fadillah Yusof turut mengesahkan penggunaan kad Touch 'n Go di lebuh raya akan ditamatkan pada tahun 2025, dan lorong khas SmartTAG akan dimansuhkan.
Sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) merupakan sistem tol tanpa palang yang tidak lagi menggunakan lorong khusus dan plaza tol, sebaliknya menggunakan struktur gantri dengan sistem pengecaman nombor plat automatik (ANPR) di lokasi spesifik.
Ujarnya, sistem MLFF merupakan kunci penting di dalam blueprint Sistem Pengangkutan Pintar bagi jaringan lebuh raya masa depan.
Pada ketika ini, ujian rintis sistem ANPR sedang diuji di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Sumber: Free Malaysia Today