Pengguna jalan raya di Gua Musang gusar cerun ditutupi plastik kanvas reput

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Rata-rata pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur, di sini berasa gusar dan bimbang melihat plastik kanvas yang menutupi cerun di bahagian kiri dan kanan jalan itu telah reput.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Tinjauan Bernama pada Isnin mendapati cerun tersebut adalah sebahagian dari kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang dijalankan oleh syarikat kontraktor yang dilantik bagi membangunkan projek berkenaan. 

 

Pengguna jalan raya, Ammar Ezani Ahmad, 27, berkata jalan tersebut merupakan laluan utama beliau untuk ke tempat kerjanya di Bandar Utama, di Gua Musang.

 

Kalau boleh saya mahu elak dari guna laluan itu kerana setiap kali melalui kawasan tersebut saya akan berasa takut dan ingin memecut laju  untuk melepasi kawasan itu dengan cepat.

 

"Saya tidak dapat bayangkan sekiranya tanah atas bukit itu runtuh dan kena pada jalan raya ketika pengguna sedang melaluinya," katanya kepada pemberita.

 

Nur Shahirah Ismail, 36, pula mendakwa plastik kanvas yang digunakan sejak setahun lalu untuk menutup cerun telah reput dan ia berisiko berlaku runtuhan pada bila-bila masa.

 

"Memang risau bila melihatkan keadaan cerun bukan sahaja di kedua-dua belah jalan dengan penutup yang lama dan reput malah keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan kita risau untuk melalui jalan tersebut.

 

"Saya mohon pihak bertanggungjawab menyelia projek ini dengan sebaik mungkin dan peka tentang isu yang melibatkan keselamatan orang ramai," katanya. 

 

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Gua Musang Zaharizam Johny berkata pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan dan notis penutupan tanah yang terdedah telah dikeluarkan kepada pembangun tersebut.

 

"Khidmat nasihat tentang aspek keselamatan dan pengurusan cerun sudah diberikan kepada pihak kontrator, malah kontraktor juga sudah mempunyai penasihat Alam Sekitar yang bertauliah untuk mengawal selia projek pembinaan terbabit," katanya. 

 

 

 

Bernama